FAMA agensi kerajaan pertama sertai Program Food Bank Malaysia

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjadi agensi kerajaan  pertama yang menyokong  Program Food Bank Malaysia (PFBM) dengan pelancaran Food Bank Malaysia @ Pasar Tani di pasar tani Putra  hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika melancarkan program berkenaan berkata, sasaran PFBM di pasar tani adalah barangan jualan tidak habis dijual.

"Lazimnya peniaga pasar tani mempunyai lebihan lima hingga 10 peratus barangan cepat rosak yang masih elok iaitu tomato, lobak merah, petola, sawi, terung, pisang dan labu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program itu di sini.

Jelasnya, barangan yang disumbangkan peniaga pasar tani akan melalui satu lagi tapisan di pusat pengumpulan bagi menjamin kualiti sebelum diedarkan kepada kumpulan sasar.

Tambah Saifuddin Nasution, sambutan orang ramai kepada PFBM adalah di luar jangkaan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kini dalam proses melakukan perolehan untuk memiliki trak sendiri dengan kemudahan sejuk beku bagi memastikan kesegaran makanan yang disumbangkan.

Pada majlis hari ini juga, sebanyak 500kg sumbangan makanan yang berjaya dikumpul dari Pasar Tani Kekal Selayang dan My Farm Outlet Putrajaya  diagihkan kepada dua rakan strategik utama PFBM iaitu Food Aid Foundation dan Kechara Soup Kitchen.

Menurut kenyataan KPDNHEP yang diedarkan pada majlis itu, sebagai permulaan, PFBM diwujudkan di pasar tani terpilih di Selangor dan Wilayah Persekutan sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

PFBM diterajui KPDNHEP menyasarkan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) termasuk pelajar universiti awam.

Menerusi program itu, lebihan makanan diperoleh terutama daripada pasar raya besar seperti roti, sayur dan buah-buahan diagih kepada mereka yang memerlukan.

BERNAMA