Dr Mahathir nafikan spekulasi rombakan kabinet berikutan gambar kumpulan

Hanya gambar kumpulan, tiada rombakan kabinet.

Itu jawapan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya mengenai penularan gambar seluruh jemaah menteri yang diambil semalam sebelum mesyuarat di Putrajaya.

“Semalam merupakan salah satu masa apabila semua anggota jemaah menteri hadir, jadi kami mahu mengambil gambar semua jemaah menteri,” kata Pengerusi Bersatu itu pada sidang media selepas Perhimpunan Agung Khas Bersatu di sini, hari ini.

Gambar itu dilaporkan memaparkan seluruh anggota Kabinet dengan semua menteri hadir - bersama Dr Mahathir sebelum mesyuarat yang dijadualkan berlangsung pada sebelah pagi di Pejabat Perdana Menteri.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan rombakan Kabinet, Dr Mahathir cuma tersenyum sambil berkata: “Apa yang kamu cadangkan? anda tahu tak, saya mendengar suara rakyat, saya dipengaruh oleh anda.”

Sementara itu, Dr Mahathir berkata pemimpin veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah mempunyai banyak pengalaman berhubung parti yang mengalami “perpecahan”.

"Beliau mempunyai banyak pengalaman dengan Semangat 46. Jadi dia tahu semuanya," kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir mengulas kenyataan Tengku Razaleigh yang menyatakan bahawa terdapat kemungkinan gabungan Pakatan Harapan akan berpecah berikutan kemelut dalaman melibatkan dua pemimpin tertinggi PKR – Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Tengku Razaleigh menubuhkan parti serpihan, Semangat 46, pada 1989 selepas kalah kepada Dr Mahathir pada pemilihan UMNO.

BERNAMA