DAP serah kepada pihak berkuasa siasat dakwaan rogol


DAP Perak menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan penuh berhubung dakwaan bahawa seorang exco kerajaan negeri telah melakukan serangan seksual ke atas pembantu rumahnya.

Pengerusinya Nga Kor Ming berkata laporan polis telah dibuat semalam di Balai Polis Jelapang, di sini. 
Menurut Nga, parti memandang serius perkara itu.

“Parti berpendapat bahawa tiada siapa mengatasi undang-undang dan oleh itu, parti menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan penuh," kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nga juga berkata tindakan sewajarnya akan diambil bergantung kepada hasil siasatan oleh pihak berkuasa.
Sementara itu, Ketua penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, ACP Choo Lily ketika dihubungi Bernama News Channel mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

BERNAMA