CyberSecurity, SKMM berupaya jamin keselamatan negara daripada ancaman pengintipan - Gobind

CyberSecurity Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berupaya melaksanakan penilaian produk dan sistem teknologi komunikasi maklumat (ICT) bagi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara daripada ancaman pengintipan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata penilaian itu berdasarkan piawaian antarabangsa ISO/IEC 15408 Common Criteria (CC) sehingga ke peringkat pensijilan Evaluation Assessment Level 4 (EAL4).

“Pada peringkat ini, kod sumber dinilai oleh makmal bagi memastikan pematuhan kepada Profil Perlindungan yang telah dibangunkan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengenai jaminan keselamatan terhadap negara apabila kerajaan komited untuk kekal menggunakan teknologi syarikat gergasi China, Huawei.

Katanya, terdapat produk Huawei seperti kamera IP, tembok api (firewall), suis rangkaian (network switch), penghala (router) dan perisian telah mendapat penilaian dan pensijilan berdasarkan standard antarabangsa termasuk ISO/IEC 15408 CC.

Gobind berkata CyberSecurity juga boleh mengendalikan Penilaian Kerentanan dan Ujian Penembusan (Vulnerability Assesment and Penetration Test) terhadap peranti 5G dan dron bagi memastikan keselamatan siber.

Beliau berkata kerajaan juga telah membangunkan Dasar Kriptografi Negara untuk melindungi keselamatan maklumat melalui pelaksanaan infrastruktur kriptografi yang boleh dipercayai.

“Hal ini dapat mengatasi masalah kebocoran maklumat di ruang siber serta kesahihan maklumat,” katanya.

Katanya, CyberSecurity sedang membangunkan portfolio algoritma kriptografi terpercaya negara iaitu ‘Senarai Algoritma Kriptografi Terpercaya Negara’ yang dinamakan MySEAL.

Berhubung perolehan 12 unit dron bernilai RM80 juta daripada Amerika Syarikat (AS), Gobind berkata Kementerian Pertahanan melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menubuhkan Jawatankuasa Siber, Lembaga Komunikasi Elektronik dan Jawatankuasa Kripto.

Kedua-dua jawatankuasa itu, katanya, berperanan memeriksa dan mengekang kebocoran maklumat atau data yang dikumpul melalui aset-aset pertahanan negara yang dibeli atau diterima daripada negara luar.

“Pihak ATM telah menentusahkan selamat dari intipan,” katanya.

Selain itu, katanya, Kementerian Pertahanan sentiasa mengkaji setiap bantuan kelengkapan yang bakal diterima daripada AS dengan Memorandum of Understanding (MoU) atau perjanjian teknikal tertentu yang tidak mengikat serta menjejaskan keselamatan dan maklumat sulit negara.

BERNAMA