70 hektar tanah di Tambun khusus untuk tanaman limau bali - Peja

Kerajaan negeri Perak berhasrat menajdikan kawasan Tambun berhampiran bandaraya Ipoh sebagai pusat tumpuan pelancongan memandangkan kawasan itu sinonim dengan limau bali atau lebih dikenali limau Tambun yang mendapat permintaan tinggi dari seluruh negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, bagaimanapun, berkata kebanyakan tanah yang diusahakan dengan buah tersebut oleh pekebun sejak puluhan tahun adalah tanah milik kerajaan negeri.

"Saya sudah berbincang dengan pekebun dan mencadangkan supaya tanah seluas 70 hektar di kawasan Tambun diuruskan oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) supaya kita dapat mengekalkan kehijauan tanah ini dengan tradisi tanaman limau Tambun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Persatuan Pekebun Buah Limau Bali Tambun dan Buah-Buahan Tempatan Tambun di sini, hari ini.

Beliau berkata beberapa syarat akan dikenakan selepas pengagihan tanah untuk pekebun, antaranya, hanya tanaman limau Tambun dibenarkan memandangkan kawasan itu hanya sesuai menghasilkan jenis buah berkenaan dengan baik.

Audit juga perlu dilakukan ke atas penggunaan tanah kerajaan negeri oleh pekebun di sini bagi memastikan ia diurus dengan betul, katanya.

BERNAMA