5G: Kerajaan tidak akan berkompromi aspek kesihatan dan keselamatan

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan dan kesihatan berhubung pelaksanaan 5G.

"Teknologi baharu 5G hanya akan digunakan setelah ia disahkan mematuhi kesemua standard keselamatan yang diperlukan," kata beliau.

Ke arah itu, kata Gobind, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)  telah mengeluarkan Standard Mandatori Emisi Medan Elektromagnetik (EMF) dari infrastruktur komunikasi radio, yang dikuatkuasakan ke atas industri itu.

"Kesemua pemain industri dikehendaki menjalankan dan melaporkan pengukuran di lapangan bagi memastikan bahawa semua syarikat patuh kepada had-had keselamatan yang telah ditentukan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Laporan Separuh Penggal Pasukan Petugas 5G di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Suriani Ahmad dan Pengerusi MCMC Al-Ishsal Ishak.

Mengenai Laporan Separuh Penggal Pasukan Petugas 5G itu, Gobind melahirkan perasaan puas hati kepada kemajuan pantas yang dicapai pasukan petugas itu dalam mengenal pasti "use cases", menawarkan spektrum penyelesaian pengurusan, menganalisis aspek kesihatan dan keselamatan, manakala pada masa sama mengadakan mekanisme kawal selia dan infrastruktur baharu yang diperlukan untuk 5G.

"Saya amat kagum dengan keluasan dan kedalaman laporan interim (sementara) ini yang menonjolkan komitmen yang ditunjukkan ke arah pembangunan infrastruktur 5G di Malaysia," kata beliau.

Terdapat 113 ahli dalam pasukan petugas itu yang dibahagikan kepada empat kumpulan kerja iaitu pengawalseliaan, termasuk kesihatan dan keselamatan, pengurusan dan peruntukan spektrum, infrastruktur dan kes perniagaan.

Pasukan petugas itu, yang terdiri daripada pasukan-pasukan permintaan, para pembekal perkhidmatan, persatuan-persatuan perniagaan, para vendor peralatan, ahli akademik serta kementerian dan agensi kerajaan, telah mempamerkan cara berkolaborasi baharu dalam membina ekosistem berdasarkan Kemakmuran Bersama, kata beliau.

Gobind berkata 5G, yang menjanjikan kelajuan yang sangat tinggi, ketersambungan besar-besaran dan latensi rendah, akan memupuk transformasi industri dan masyarakat di Malaysia.

"Ia akan membuka inovasi dan peluang-peluang baharu dalam pelbagai sektor termasuk pertanian, pendidikan, pentadbiran kerajaan, kesihatan, keselamatan awam dan pengangkutan, sekadar menyebut beberapa contoh," tambah beliau.

Menurut Gobind, tiga faktor utama yang akan memberi impak kepada pertumbuhan 5G di rantau ini ialah peluang, kos melancarkannya dan kebergantungan ekosistem di mana MCMC dan pasukan petugas itu telah dengan secara proaktif cuba menyelesaikan perkara-perkara itu.

Dari segi kebergantungan ekosistem, Gobind berkata dasar seperti ketersediaan spektrum dan penetapan harga, kesediaan teknologi seperti ketersediaan standard dan peranti dan keadaan pasaran yang menerima, kesemuanya mempunyai peranan.

"Pandangan jauh Malaysia untuk menerima pakai 5G pada 2018 dan agresif dalam menjalankan ujian-ujian serta mengadakan demonstrasi projek-projek pada tahun ini juga, wajar meletakkan negara pada kedudukan antara peneraju dunia dalam menerima pakai 5G," kata beliau.

Berhubung penyelesaian pengurusan spektrum, Gobind berkata kerajaan menerusi MCMC telah mengeluarkan Pertanyaan Awam mengenai Peruntukan Band Spektrum untuk Perkhidmatan Jalur Lebar Mudah Alih.

Pertanyaan awam itu, yang telah bermula pada 1 Julai hingga 30 Ogos, kini sedang dilaksanakan bagi mendapatkan input mengenai jalur lebar yang optimum, mekanisme penganugerahan, garis masa untuk proses peruntukan dan prinsip-prinsip luas dalam menentukan yuran spektrum untuk band spektrum 700 MHz, 2300 MHz dan 2600 MHz, kata beliau.

Setelah selesai pertanyaan awam nanti, Gobind berkata, satu pelan hala tuju spektrum untuk Malaysia akan dibangunkan menjelang suku pertama 2020.

BERNAMA