Kejahilan Puak Ruwaibidhah Mengotori Keindahan Ajaran Islam




Islam adalah agama yang mengiktiraf kewujudan ‘orang lain’ (the others). Sebelum kedatangan Islam, tiada agama yang mengiktiraf kewujudan ‘orang lain’, sebaliknya ‘orang lain’ dianggap musuh yang harus ditindas dan dizalimi (Muhammad ‘Imarah, Haqaiq wa Syubuhat Hawla al-Samahah al-Islamiah wa Huquq al-Insan, 2010: 16-19).

Walau bagaimanapun, pengikitirafan ini datang bersama dengan batas-batas iman dan kufur yang diterangkan dengan jelas dalam al-Quran dan al-Sunnah. Allah SWT dengan tegas menyatakan bahawa agama yang benar dan diterima di sisiNya hanyalah Islam (Ali ‘Imran: 19) dan sesiapa yang mengamalkan ajaran agama selain Islam tidak akan diterima di sisi Allah dan dia tergolong dalam kalangan orang-orang yang rugi di akhirat (Ali ‘Imran: 85)

Allah SWT juga dengan tegas mengkafirkan sesiapa yang berkata ‘Isa al-Masih itu tuhan (Al-Maaidah: 17 dan 72) dan mendakwa Allah sebagai satu daripada tiga tuhan (Al-Maaidah: 73). Sebaliknya ‘Isa al-Masih itu adalah seorang manusia yang dilantik menjadi rasul utusan Allah daripada keturunan Maryam yang benar (Al-Maaidah: 75)

Allah SWT juga ‘memerangi’ orang-orang Yahudi yang mengatakan ‘Uzair itu anak Allah dan orang-orang Kristian yang mengatakan ‘Isa al-Masih itu anak Allah (Al-Tawbah: 30)

Demikianlah al-Quran membina batas yang jelas di antara iman dan kufur untuk panduan orang-orang Islam. Namun begitu, perbezaan akidah dan kepercayaan itu tidak mengizinkan orang Islam mencela, mengeji, merendah-rendahkan atau mengejek agama lain kerana perbuatan itu tidak mendatangkan apa-apa kesan selain daripada balasan celaan, kejian, peremehan atau ejekan yang lebih teruk daripada pengikut agama lain terhadap Allah tanpa ilmu dan kefahaman (Al-An’am: 108)
Lebih daripada itu, Islam menganjurkan supaya umatnya melakukan kebajikan dan keadilan terhadap ‘orang lain’ yang tidak memerangi mereka dan tidak menghalau mereka daripada negeri mereka. Mereka cuma dilarang berbuat baik dan berkasih sayang dengan ‘orang lain’ yang telah memerangi mereka, telah menghalau mereka dari negeri mereka dan telah berpakat untuk menghalau mereka (Al-Mumtahanah: 8 dan 9)

Perbezaan kepercayaan orang Islam dengan ‘orang lain’ tidak pernah dijadikan alasan yang diterima oleh Allah untuk orang Islam menafikan hak-hak kemanusiaan dan kewarganegaraan mereka. Jika orang Islam mendapat kemuliaan kerana iman mereka, orang bukan Islam juga mendapat kemuliaan kerana kemanusiaan mereka, di mana Allah telah memuliakan seluruh manusia keturunan Adam, memberi mereka akal untuk bergerak di darat dan di laut (serta di udara di zaman sekarang), memberi mereka rezeki yang baik-baik dan melebihkan semua mereka berbanding makhlukNya yang lain (Al-Israa: 70)

Sebenarnya perbezaan kepercayaan dan agama di antara manusia adalah satu fitrah kejadian yang sengaja Allah ciptakan di atas dasar rahsia keagunganNya. Allah SWT menegaskan bahawa jika Dia berkehendak, Dia boleh menjadikan semua manusia ini satu bangsa dan satu agama sahaja (Al-Maaidah: 48, Al-Nahlu: 43, al-Syura: 8, Yunus: 99) . Tetapi Allah menjadikan manusia ini berbeza-beza untuk tujuan mereka berselisih pendapat dan berkenal-kenalan di antara satu sama lain (Hud: 118 dan 119, Al-Hujurat: 13). Dengan perbezaan itu, manusia akan bersaing dan bertukar-tukar pengalaman yang akhirnya terbina tamadun dan kemakmuran manusia.

Persamaan kemulian insan (karamah insaniyah) ini bukanlah terhenti pada teori dan konsep di dalam al-Quran sahaja, bahkan Rasulullah SAW dan para Sahabah RA telah mempraktikkannya dalam kehidupan sebenar bersama orang-orang bukan Islam di Madinah dan juga di seluruh wilayah pentadbiran Islam. 

Dalam Sahifah (Perlembagaan) Madinah, orang-orang bukan Islam dalam kalangan Yahudi dianggap satu umat yang sama dengan umat Islam dan mempunyai hak dan tanggung jawab yang sama sebagai warganegara (rujuk Muhammad Hamidullah, Majmu’ah al- Wathaiq al-Siyasiah li al-‘Ahd al-Nabawi wa al-Khilafah al-Rasyidah, 1987: 59-62). Manakala terhadap orang Kristian yang ketika itu berada di bawah pemerintahan Rom, Rasulullah SAW menulis surat menawarkan mereka hak dan tanggungjawab yang sama seperti orang-orang Islam dan mereka adalah rakan kongsi kepada umat Islam (rujukan yang sama: halaman 110)

Rasulullah benar-benar mempraktikkan prinsip kebebasan beragama dan tiada sebarang paksaan dalam memilih agama (Al-Baqarah: 256). Pembukaan wilayah baru bukan untuk memaksa orang lain masuk Islam, tetapi untuk memberi kebebasan manusia membuat pilihan setelah kerajaan zalim yang memaksa rakyat dihapuskan. Orang Kristian boleh kekal dalam agama Kristian dan orang Yahudi boleh kekal dalam agama Yahudi serta mereka bebas mengamalkan kepercayaan agama mereka (Muhammad ‘Imarah, Haqaiq wa Syubuhat Hawla al-Hurub al-Diniyah, 160-168)

Bagi memelihara hak orang-orang bukan Islam di bawah negara Islam, Rasulullah SAW memberi jaminan keselamatan darah dan harta mereka. Sabda baginda bermaksud: “Sesiapa yang membunuh mu’ahad (orang bukan Islam yang mengikat perjanjian dengan negara Islam), dia tidak akan mencium bau syurga. Sesungguhnya bau syurga itu boleh dihidu sejauh perjalanan empat puluh tahun” (Riwayat al-Bukhari). Dalam hadis lain baginda bersabda maksudnya: “Ketahuilah bahawa sesiapa yang menzalimi mu’ahad atau mengurangi haknya, atau membebankannya di luar kemampuannya, atau mengambil sesuatu hak tanpa kerelaannya, sesungguhnya akulah pembelanya pada hari kiamat kelak”. (Al-Albani, Sahih Abu Dawud, no. 3052)

Di atas dasar kemulian insan juga, walaupun berlainan agama dan kepercayaan, Rasulullah SAW bangun berdiri menghormati jenazah seorang Yahudi yang diusung dan dibawa lalu di depan baginda. Apabila diberitahu kepada baginda bahawa jenazah itu ialah seorang Yahudi (yang mati dalam agama Yahudi), baginda berkata: Bukankah ia juga satu jiwa (manusia)? (Hadis Sahih riwayat Muslim).

Rasulullah SAW menghadiri majlis kenduri orang Yahudi, menyertai keramaian mereka, menziarahi mereka yang ditimpa musibah dan berinteraksi dengan mereka dalam segala bentuk hubungan sesama manusia. Baginda diriwayatkan pernah membuat pinjaman wang daripada mereka dan pernah mencagar barangan kepada orang Yahudi. Para Sahabah bukanlah tidak mampu memberi pinjaman wang kepada baginda, kerana sebahagian mereka ada yang kaya, tetapi baginda sengaja melakukan hal demikian sebagai pengajaran dan praktis kepada umatnya tentang amalan hidup bersama orang-orang bukan Islam secara aman dan damai. Ia juga menjadi bukti bahawa Islam tidak memutuskan hubungan dengan ‘orang lain’ yang berlainan agama (Majma’ Buhuth Islamiah Universiti Al-Azhar, Huquq Ghayr al-Muslimin fi Mandzur Islami, 2019: 10)

Ada orang mengatakan bahawa Rasulullah SAW berlembut dan bertoleransi dengan orang-orang kafir ketika belum kuat atau memiliki kuasa pemerintahan. Pandangan ini adalah salah dan memberi gambaran seolah-olah ada hipokrisi dalam ajaran Islam. Sedangkan akhlak Rasulullah SAW adalah konsisten sama ada ketika lemah dan kuat. Buktinya ialah ketika tahun ke 10 Hijrah, iaitu ketika Islam berada di puncak kuasa di Semenanjung Tanah Arab, baginda dikunjungi delegasi umat Kristian Najran. Delegasi itu masuk bertemu baginda di dalam masjid selepas solat Asar. Seketika selepas itu masuk waktu solat mereka, lalu mereka pun mendirikan solat mereka di dalam masjid Nabi SAW. Para Sahabah RA cuba menghalang mereka tetapi baginda menitahkan: “Biarkan mereka”, lalu mereka menghadap ke arah timur dan menunaikan solat mereka (Riwayat al-Baihaqi, Dalail al-Nubuwwah 5/382; al-Dzahabi, Tarikh Ial-Islam2/695 dan al-Siyar 2/285; Majma’ Buhuth Islamiah Universiti Al-Azhar, Huquq Ghayr al-Muslimin fi Mandzur Islami, 2019: 22)

Praktis yang sama diamalkan para Sahabah selepas baginda. Imam al-Tabari merakamkan dalam Tarikh al-Tabari (4/167) bahawa ketika Khalifah Kedua umat Islam, Sayyiduna ‘Umar melawat sebuah gereja di Syam, telah masuk waktu solat. Paderi di gereja itu meminta ‘Umar supaya menunaikan solat di dalam gereja itu. Hampir-hampir ‘Umar menunaikan solat di situ tetapi beliau memohon kemaafan kerana jika beliau solat di dalam gereja itu beliau khuatir umat Islam kemudian akan menganggap gereja itu sudah menjadi masjid dan mereka akan merampasnya. Maka ‘Umar hanya solat di atas satu tempat berhampiran pintu gereja dan menulis wasiat kepada umat Islam supaya tidak solat di tempat yang sama melainkan secara sendirian (tanpa berjemaah) dan tanpa azan. Kisah yang sama dirakamkan oleh Ibn Khaldun dalam Tarikh Ibn Khaldun.

Ada sesetengah agamawan Melayu menulis bahawa ‘Umar tidak solat dalam gereja itu kerana khuatir perbuatan itu akan merosakkan akidah umat Islam. Tetapi ternyata alasan itu adalah rekaan yang bersumberkan takwilan yang lari daripada fakta sebenar. Sedangkan asalnya ’Umar bersetuju untuk solat di situ tetapi mengubah tempat solatnya ke luar pintu gereja kerana bimbang umat Islam kemudian akan mengambil gereja itu daripada orang Kristian kerana menganggapnya sudah menjadi masjid dengan perbuatan ‘Umar itu (Majma’ Buhuth Islamiah Universiti Al-Azhar, Huquq Ghayr al-Muslimin fi Mandzur Islami, 2019: 11)

Mari kita baca sejarah yang dicoret oleh panglima Islam ‘Amru bin al-‘As pula. Ketika memasuki bumi Mesir untuk membukanya pada tahun 21 Hijrah bersamaan 642 Masehi, umat Kristian di Mesir berpecah kepada Kristian Roman Katolik dan Kristian Mesir Jacob kerana perbezaan pendapat tentang diri ‘Isa al-Masih. Kristian Katolik telah menindas dan mendera umat Kristian Jacob sehingga memaksa mereka melarikan diri ke sahara, gua dan tempat yang jauh. Ketua paderi Kristian Jacob bernama Benjamin (623 – 662 Masehi) telah melarikan diri selama 13 tahun. Bila ‘Amru bin al-‘As datang membuka Mesir, beliau memanggil ketua paderi Benjamin pulang dengan jaminan keamanan, memuliakannya dan membebaskan gerejanya yang ditawan oleh orang Kristian Roman (Muhammad ‘Imarah, Haqaiq wa Syubuhat Hawla al-Samahah al-Islamiah wa Huquq al-Insan, 2010: 19).

Sebenarnya banyak lagi bukti keterbukaan dan toleransi yang diamalkan oleh golongan awal Islam dalam hubungan mereka dengan umat bukan Islam. Mereka adalah penterjemah sebenar kepada ajaran al-Quran yang merupakan acuan Allah SWT kepada umat manusia. Tiada siapa dalam kalangan ulama Islam mempertikaikan amalan dan tindakan keterbukaan Rasulullah SAW dan para Sahabah RA itu sebagai ancaman kepada akidah Islam atau pengaruh liberalisme menyerap dalam diri umat Islam.

Mereka yang mendakwa diri mereka sebagai ulama pada hari ini yang sebenarnya jahil terhadap ajaran Islam dalam bentuk praktik keterbukaan itu. Itulah gambaran golongan Ruwaibidhah yang hanya hebat bercakap tetapi dada kosong daripada ilmu yang sebenar sebagaimana tersebut dalam sebuah hadis. Ketaksuban mereka kepada politik perkauman telah mengubah fahaman Islam yang sebenar yang suci murni menjadi kotor dan digeruni oleh orang-orang bukan Islam. Oleh sebab itu, mereka gagal menterjemahkan Islam dalam bentuk realiti walaupun mereka juga membaca ayat al-Quran yang bermaksud: “Dan tidaklah Aku (Allah) mengutuskanmu (wahai Muhammad) melainkan untuk tujuan memberi rahmah kepada sekalian alam” (Al-Anbiyaa: 107)

Jika Rasulullah SAW membenarkan orang bukan Islam solat di dalam masjid baginda, Khalifah ‘Umar menjamin survival gereja di Syam supaya tidak dirampas oleh umat Islam selepasnya, panglima ‘Amru bin al-‘As memulangkan hak-hak dan gereja umat Kristian Jacob di Mesir, apalah sangat sekadar berbuka puasa di dewan sebuah rumah ibadat Sikh (Gudwara) atau pemimpin bukan Islam menyampaikan bantuan zakat kepada asnaf. Jika kita jahil terhadap sunnah Rasullah SAW dan para Sahabah RA selepasnya dalam hubungan dengan penganut agama lain, tidak usah kita menjadi jaguh Islam Melayu cuba mengubah ajaran Islam yang murni menjadi ajaran Melayu. Berkata Sayyiduna ‘Umar bin al-Khattab: “Jadikan dirimu faqih, sebelum kamu memimpin” (Ibn Muflih, al-Adab al-Syar’iyyah 2/45; Ibn Hajar, Fath al-Bari 1/199, kedua-duanya bersanad sahih)

Ustaz Ali Muda
Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada
Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama)
Salak Tinggi, 3 Jun 2019