Yapeim Rugi RM12juta Dalam Skim Gadaian Emas


Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dilaporkan mengalami kerugian RM12 juta menerusi skim gadaian emasnya melibatkan 1,000 pelanggan projek gadaian Islam Ar-Rahnu.
The Malaysian Insight memetik dokumen sulit kerajaan yang menunjukkan kerugian berlaku apabila Yapeim gagal membuat lelongan ke atas barang kemas tidak ditebus sebanyak 300 kg dengan nilai RM80 juta, dari 2012 hingga 2014.

Menurut laporan itu, pihak pengurusan mahu menunggu nilai emas meningkat terlebih dulu namun pada masa sama sebahagiannya telah dicairkan tanpa pengetahuan penggadai.

“Disebabkan kegagalan melakukan jualan dan lelongan tersebut menyebabkan pihak Ar-Rahnu mengalami kemerosotan nilai emas sebanyak RM12 juta daripada harga sebenar pasaran.

“Sedangkan jika lelongan itu tidak dihalang, Ar-Rahnu tidak akan menghadapi kerugian kerana harga emas tidak pernah jatuh lebih 20% peratus dalam tempoh 20 bulan tersebut," kata dokumen itu seperti dipetik The Malaysian Insight.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas dokumen sulit tersebut, dan telah menghubungi Yapeim untuk mengulas perkara itu.

Menurut laporan itu, penangguhan itu pada mulanya dibantah pengerusi jawatankuasa syariah Yapeim waktu itu, Wan Zahidi Wan Teh tetapi dia kemudian dipecat.

Menurut laporan itu lagi, pihak pengurusan Yapeim kemudian mengarahkan Ar-Rahnu menjual semua 300kg barang kemas itu kepada anak syarikat milik penuhnya, Input Yapeim untuk menutup perkara tersebut.

"Sehingga hari ini pihak Input masih gagal menjelaskan semua hutang harga jualan emas tersebut,” kata dokumen itu seperti dipetik.

Laporan itu juga menyatakan beberapa kilogram emas hilang susulan transaksi meragukan.
Pada Ogos tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof berkata Yapeim antara agensi yang berada dalam radar pihaknya dan "tidak akan membiarkan" penyelewengan jika berlaku.
Pada 11 Mei lalu, The Malaysian Insight turut melaporkan dakwaan penyalahgunaan  RM1 juta daripada dana anak yatim yang diamanahkan kepada Yapeim bagi membayar yuran guaman peguam yang juga pembantu kepada bekas perdana menteri Najib Razak pada tahun 2017.

Bagaimanapun, Yapeim menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan yuran guaman itu diambil daripada dana am dan bukannya dana amal jariah.

Malah menurut ketua jabatan penasihat perundangan Yapeim, Adawiyah Abdul Samad, bayaran itu diluluskan oleh lembaga pemegang amanah dan melibatkan jumlah yang "jauh lebih kecil", tetapi tidak mendedahkan jumlahnya.

Sumber : https://www.malaysiakini.com/news/475909