Mujahid Cadang Tukar Nama Jalan, Bawa Mesej Keharmonian


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof Rawa mencadangkan salah satu jalan di Brickfields diberi nama Jalan Harmoni kerana terdapatnya rumah-rumah ibadat semua agama di situ.
Mujahid berkata nama baharu itu simbolik perpaduan.

“Saya sangat mengharapkan nama Jalan Harmoni dapat diberikan di kawasan ini, seperti di Pulau Pinang di mana ada satu jalan, lebih kurang 1 kilometer, sama macam di kawasan ini ada gereja, kuil, tokong dan masjid,” katanya.

Mujahid akan bertemu Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad untuk mengisytiharkan salah satu jalan di situ sebagai Jalan Harmoni.

“Ia akan menterjemahkan cita-cita kita untuk mengekalkan keamanan antara kaum dan agama. Ini menjadi contoh di Malaysia kita dapat hidup aman di sebalik perperangan di sana sini atas nama agama.”

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis berbuka puasa dan pelancaran dana untuk surau Madrasatul Ghoutiyyah di Brickfields.

Majlis turut dihadiri ketua-ketua rumah ibadat Buddha, Hindu, Taoist dan Kristian.
“Ini satu contoh berbuka yang sangat digalakkan di mana mereka dapat hadir bersama bagi meraikan bulan kerohanian. Ia boleh membawa mesej kedamaian dan keamanan,” katanya.

Mengenai kempen kutipan dana itu, pengerusi surau, Anwar Hussein berkata Madrasatul Ghoutiyyah memerlukan RM5 juta untuk membina bangunan tambahan setinggi 3 tingkat.

Beliau berkata binaan itu juga akan membolehkan suraunya memuatkan lebih ramai jemaah solat Jumaat.

“Kita akan buka tabung derma ini selama setahun dan kalau dalam tempoh itu kita dapat capai RM3 juta, projek ini akan dimulakan,” katanya.

Sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/05/24/mujahid-cadang-tukar-nama-jalan-di-brickfields-kepada-jalan-harmoni/