Kemenangan PH Di Sandakan Sangkal Dakwaan Sokongan PH Makin Merosot


Kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan membuktikan dakwaan pihak tertentu bahawa sokongan rakyat kepada PH semakin merosot adalah tidak benar, kata Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kemenangan PH di PRK Sandakan adalah hasil daripada kerjasama dan sokongan yang baik daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Ini menunjukkan memang merosotlah apa-apa hujah yang yang mengatakan sokongan rakyat kepada PH makin menurun,” katanya kepada pemberita selepas majlis Hari Jururawat Antarabangsa di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS)  pada Ahad.

Keputusan PRK Parlimen Sandakan semalam menyksikan DAP mempertahankan kerusi itu selepas calonnya Vivian Wong Shir Yee, 30, menewaskan empat pencabarnya dengan majoriti 11,521 undi selepas mendapat 16,012 undi.

Sementara itu di Kota Kinabalu, Ketua Penyelaras Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah Datuk Hajiji Noor berkata kemenangan calon DAP itu membuktikan rakyat menyokong Parti Warisan Sabah, dan kerajaan PH secara umumnya.

Beliau berkata kemenangan itu juga jelas menunjukkan pengundi di Parlimen Sandakan mahu Vivian Wong meneruskan agenda perjuangan mendiang bapanya Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang menyandang kerusi berkenaan sebelum ini.

“Bersatu Sabah mengucapkan tahniah kepada DAP khususnya Vivian Wong atas kemenangan bermakna ini. Keputusan telah dibuat oleh para pengundi Parlimen Sandakan, maka ia harus dihormati oleh semua pihak,” katanya.

“Kita juga berbangga kerana kawasan PDM yang majoriti pengundinya Bumiputera Islam, yang dahulunya calon PH tewas, tetapi kali ini dimenangi oleh PH, seperti di Sim-Sim serta Pulau Berhala, dan ini sekali gus membuktikan pengaruh UMNO merosot, sejak kemasukan Bersatu ke Sabah termasuk di Sandakan,” katanya.

Di Kuching, Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen pula berkata keputusan PRK itu merupakan satu pengiktirafan oleh penduduk Sandakan terhadap prestasi PH dan kerajaan Warisan sejak kira-kira setahun lepas.

Beliau berkata walaupun jumlah peratus yang keluar mengundi hanya 54 peratus berbanding 73 peratus pilihan raya umum 2018 lepas, calon DAP menang dengan majoriti lebih besar 11,531 berbanding 10,098 pada pilihan raya lepas.
“Secara ringkasnya penduduk Sandakan khususnya, penduduk Sabah secara umumnya berpuas hati dengan kerjasama baik antara kerajaan negeri PH/Warisan dengan kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu, sejak setahun lepas kerjasama baik antara kerajaan Persekutuan dan Negeri di Sabah, memberikan banyak manfaat kepada penduduk Sabah.

“Berbeza dengan Sarawak, di mana Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus bermain dengan politik dalam semua perkara berkaitan dengan Negeri-Persekutuan, menjadikan banyak inisiatif baik oleh kerajaan Persekutuan terjejas, atau malah disabotaj. Natijahnya rakyat Sarawak dinafikan banyak manfaat daripada inisiatif kerajaan Persekutuan,” kata beliau yang juga Pengerusi DAP Sarawak.

Di Kuantan, Ketua Sekretariat PH Datuk Saifuddin Abdullah pula menyifatkan kejayaan di Sandakan sebagai suntikan semangat parti selepas tewas dalam tiga PRK berturut-turut.
— BERNAMA