Kerajaan Pas Terengganu Kuatkuasa Dasar Tapis Penceramah



Timbalan Naib Canselor Universiti Zainal Abidin(UniSZA), Prof Madya Dr Afandi Salleh meluahkan rasa kesal susulan tindakan kerajaan negeri membatalkan ceramahnya sempena program Sejuta Doa Buat Al-Aqsa yang dijadualkan berlangsung hari ini, pada saat akhir.

Luahan itu dikongsi menerusi status yang dimuat naik aktivis Palestin itu di laman sosial beliau, semalam.

Katanya, beliau menerima undangan menyampaikan ceramah berkenaan Gaza, Palestin di Masjid Bukti Besar, di sini beberapa hari lalu dan begitu teruja untuk menghadirinya.

"Saya amat teruja menerima undangan tersebut, walaupun dalam keadaan yang amat sibuk. Kelmarin, saya sempat menelaah nota dan menyediakan slide persembahan.

"Sudah dua hari saya di Kuala Lumpur dan awal pagi ini bergegas ke Perlis tetapi saya atur jadual penerbangan agar pulang pada hari ini juga demi memastikan jadual ceramah di Masjid Bukit Besar berjalan dengan baik.

"Namun, semalam saya menerima panggilan daripada seorang pegawai memaklumkan ceramah saya dibatalkan atas sebab-sebab tertentu,"katanya.

Menerusi status sama, Mohd Afandi berkata, beliau dimaklumkan terdapat campur tangan politik yang mengarahkan supaya beliau disekat daripada menyampaikan ceramah sempena program itu.

Mohd Afandi berkata, walaupun ceramahnya dibatalkan namun beliau turu memenuhi permintaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) untuk menghantar 80 pelajar bagi mendengar ceramah berkenaan Palestin pada tarikh sama.

"Selaku Timbalan Naib Canselor, sebagai rakyat Terengganu dan tambahan lagi sebagai aktivis Palestin, saya meluluskan permohonan tersebut," katanya.

Mohd Afandi yang merupakan aktivis MyCare@AqsaSyarif pernah ditahan di penjara Givon Israel pada Julai 2018 ketika menyertai misi kapal flotila Al-Awda yang membawa 116 kotak ubat-ubatan ke Gaza.

Sementara itu Sinar Harian kini dalam usaha mendapatkan reaksi Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu berhubung isu tersebut.

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/21695/EDISI/Terengganu/Dr-Afandi-kesal-Kerajaan-Terengganu-batal-ceramah