Fakta Berkenaan SPV, Bangsa Cina Dan Tabung Haji


Persoalan ini kerap diulang dan jawapannya juga terpaksa diulangi setiap kali isu Tabung Haji diberi liputan media. Antara soalan kerap berulang adalah “mengapa perlu pindahkan aset sedangkan sebahagian kelihatan aset yang berharga?”

Menurut TH, aset Tabung Haji yang dipindahkan kepada Urus Jemaah Sdn Bhd (SPV di bawah Perbadanan Kementeran Kewangan) adalah apabila ia mempunyai ciri berikut:-

a- Harta tanah tanpa sekatan yang punyai pulangan kurang dari 2 %.
b- Pelaburan dalam sekuriti ekuiti domestik (kecuali anak syarikat TH) dan syarikat tidak tersenarai yang mempunyai kejatuhan nilai melbihi 20 % bagi tempoh 3 tahun lepas.

MENGAPA PERLU PINDAH KEPADA SPV?

Jawabnya, jika semua aset ini masih dikekal dalam ‘buku’ atau pemilikan Tabung Haji, ia bakal menjadikan tanggungan (liabiliti) Tabung Haji melebihi asetnya. Akibatnya, menurut Akta Tabung Haji, TH tidak boleh memberikan Hibah kepada pendepositnya walaupun mempunyai keuntungan operasi.

Menurut akta Tabung Haji klausa 3 (a) menyatakan tiada pengagihan keuntungan boleh dilakukan oleh Tabung Haji kecuali Lembaga Tabung Haji mestilah terlebih dahulu mempastikan aset adalah tidak kurang dari aggregate liabiliti Tabung Haji.

TH telah melaporkan liabiliti sebanyak RM74.4 billion berbanding aset keseluruhan sebanyak RM70.3 billion, iaitu total defisit sebanyak RM4.1 billion, pada Dec 31, 2017.
Antara puncanya adalah keuntungan TH dari operasi perniagaannya termasuk seluruh anak-anak syarikat serta syarikat bersekutu dan pelaburannya, semua tidak cukup banyak untuk mendahului tanggungan (liabiliti) TH.

Selain itu, peningkatan liabiliti juga adalah dari punca penurunan dan kekurangan keuntungan aset ekuiti dari kerana pasaran saham yang tidak memberangsangkan, angka sebenar menunjukan semua ini menyebabkan defisit asetnya mencecah RM 4.1 bilion. Benar, kelemahan pasaran saham memainkan peranan kepada bermasalahnya akaun TH dan meningkatnya liabilitinya, namun itu bukan satu-satunya penyebab kerana kerugian amat banyak dicatatkan juga oleh anak syarikat yang tidak tersenarai, hartanah dan lain-lain.

Maka bagi membolehkan Tabung Haji merawat dan meningkatkan jumlah aset serta melupuskan kurang untung yang telah menambahkan liabilitinya ini, maka proses pemindahan aset kepada pihak luar diperlukan segera atau Tabung Haji akan gagal memberikan apa-apa hibah yang boleh menyebabkan masalah lebih besar kepada kelangsungan Tabung Haji itu sendiri iaitu dibimbangi ‘bank run’ atau pengeluaran besar-besaran berlaku.

Malah tanpa proses ini, Tabung Haji dijangka tidak mampu memberikan sebarang dividen sepanjang 5 tahun akan datang kerana kejatuhan nilai saham yang tersenarai atau yang tidak tersenarai di bursa dan juga hartanah yang dipegang oleh Tabung Haji tidak dijangka akan mampu pulih dengan pantas dalam tempoh hanya 2-4 tahun. Bayangkan sebagai contoh saham seperti FGV yang dahulunya bernilai RM 4.40 telah jatuh kepada 93 sen. Ketahuilah bahawa TH sebelum ini memegang sebanyak 283 juta saham FGV.

Terdapat lebih 100 syarikat pegangan TH yang jatuh teruk dan kekal jatuh lebih 20 % berbanding harga sewaktu belian dan ia melebihi 3 tahun.

Justeru, berapa lamakah akan diambil untuk menunggu nilai FGV, dan semua nilai syarikat yang berjumlah 106 buah ini untuk naik semula ke harga belian TH dahulu? Atau melebihinya? Sudah tentu sukar digambarkan ia boleh pulih dalam 3-4 tahun ini. Maka aset sekuriti seperti ini mesti dikeluarkan dari buku TH agar tidak merosakkan ‘Balance Sheet’ TH disebabkan keperluan rekod perakaunan menurut standard Financial reporting standard consensus no 14 di bawah ‘impairment’ mengkehendaki TH merekodkan semua ini sebagai kerugian.

Sememangnya difahami melepaskan pegangan ke atas aset tersebut adalah pedih namun tiada pilihan terbaik pada masa ini kecuali dengan bantuan kerajaan (yang juga penjamin TH) ia perlu dipindahkan. Teknik ini pernah dilakukan dahulu oleh Danaharta dan ia bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Apa yang penting juga, bukanlah aset tadi dijual oleh Tabung Haji kepada non-bumiputera kerana aset ‘dijual’ kepada Urusharta Jemaah Sdn Bhd iaitu mewakili kerajaan dan bukan hak mutlak Menteri Kewangan.

Malah menurut maklumat sahih yang diedarkan di Parlimen Malaysia, semua aset yang dipindah adalah dengan harga yang sangat bagus berbanding harga pasaran yang terlalu rendah. Menurut kiraannya sebahagian aset tersebut dipindahkan kepada Urus Jemaah Sdn Bhd pada kadar premium 55 % secara purata, lebih tinggi dari harga pasaran semasa. Yang mana ia adalah suatu ‘deal’ yang baik bersifat ‘win-win’ bagi membantu TH pulih semula.

Antara pegangan ekuiti TH yang jatuh nilai semenjak 3 tahun lepas yang akan dilepaskan kepada UJSB adalah UEM Sunrise Bhd, Boustead Heavy Industries Corp Bhd, Alam Maritim Resources Bhd, Mah Sing Group Bhd, UEM Sunrise Bhd, FGV Holdings Bhd, Brahim’s Holdings Bhd, Puncak Niaga Holdings Bhd, Parkson Holdings Bhd, White Horse Bhd, MCT Bhd, MMC Corp Bhd, Suria Capital Holdings Bhd, Axiata Group Bhd, Malaysia Marine & Heavy Engineering Holdings Bhd dan kesemuanya berjumlah 106 syarikat yang nilai rosotnya jatuh pada range 20 % hingga ke 93.5 % dan sudah berkekalan begitu selama 3 tahun!.

CEO Tabung Haji juga menyatakan Tanah TRX dibeli dengan harga RM 198 juta, namun masih terbiar kosong tanpa sebarang hasil kepada TH. Oleh itu, menurut beliau ia termasuk dalam ciri hartanah TH yang tidak memberikan pulangan melebihi 2 % dalam tempoh panjang 3 tahun. Sebab itu ia dipindahkan ke SPV dan dengan harga yang baik iaitu sekitar RM 400 juta, semua harga pemindahan ini telah termasuk dalam kiraan penerbitan sukuk, tiada tunai tetapi dalam bentuk ‘receivable’ kepada TH hasil pemegangan Sukuk kelak.

Kerajaan juga tiada banyak pilihan kecuali perlu mengusahakan sesuatu buat Tabung Haji kerana termaktub dalam akta Tabung Haji klausa 24 (1) yang memberi maksud bahawa apa sahaja yang terjadi kepada wang pendepositor Tabung Haji, semuanya akan dijamin oleh kerajaan. Tercatat jelas dalam akta seperti berikut “If any expenditure of the Lembaga in relation to withdrawals by depositors cannot be met out of the Fund or reserve Fund it shall be charged on and payable out of the Consolidated Fund”. Maka sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku ke atas Tabung Haji, sewajarnya kerajaan mengambil inisiatif mengukuhkannya melalui transaksi pemindahan ini.

KENAPA TIDAK DIJUAL KEPADA PIHAK LUAR DAN PEROLEH LEBIH UNTUNG?

Sudah tentu ia bakal mengambil masa malah amat amat sukar mendapatkan pembeli yang sanggup membeli dengan harga premium berbanding dari harga pasaran rendah bagi setiap aset terbabit. Malah, TH juga memindah milik kepada SPV Urusharta Jemaah Sdn Bhd sebagai jalan selamat dari membiarkan semua pegangan aset jatuh ke pemilikan pihak luar yang mungkin hanya memikirkan keuntungan berbanding SPV yang mewakili kerajaan Malaysia yang juga merupakan penjamin kepada deposit TH.

APA JADI SELEPAS SEMPURNA PEMINDAHAN KEPADA SPV UJSB?

Dengan sempurnanya pemindahan aset kepada SPV Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) tersebut, SPV akan menerbitkan Sukuk bernilai RM 10 billion berkupon sifar dengan tempoh matang 7 tahun, ia diterbitkan dengan diskaun kepada TH pada RM 10 bil. Ini bermakna di hujung tahun ke 7 Sukuk terbabit TH layak menerima penebusan bernilai 14.1 bil (iaitu menurut kiraan 5 % setahun). Juga diterbitkan RCPS-I pada nilai RM 9.9 billion. Kesemua Sukuk dan RCPS-i yang bakal dipegang oleh TH ini bakal menyaksikan ia memasuki buku TH sebagai ‘receivable’ atau aset bernilai RM 19.9 billion.

Jelas, transaksi itu akan meningkatkan jumlah aset serta pada waktu yang sama melepaskan sejumlah besar aset berliabiliti tinggi kepada Urusharta Jemaah Sdn Bhd. Hasilnya, Tabung Haji dijangka dapat menyaksikan lebihan ‘surplus’ aset berbanding liabiliti pada masa terdekat yang membolehkan ia memberikan hibah dan seterusnya memulakan proses pemulihan dengan menumpukan perhatian kepada aset-aset yang terbaik sahaja. Ia amat penting bagi kelangsungan Tabung Haji. Jika tidak, Tabung Haji bakal tenggelam dengan liabiliti besar yang mampu menggagalkan TH dari memberi dividen untuk tahun-tahun mendatang, yang mana kesan buruk dari hal itu adalah sangat membimbangkan ekonomi Malaysia secara umum.

ISU CEO SPV TABUNG HAJI BUKAN ISLAM BERBANGSA CINA?

Ini adalah isu terbaru yang dipolitikkan dan dimanipulasi dalam bentuk yang tidak bertanggungjawab sebenarnya. Lebih teruk lagi ada yang mengatakan CEO Tabung Haji itu sendiri adalah bukan Islam, padahal CEO atau Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji adalah Datuk Seri Zukri Samad iaitu seorang Melayu Muslim yang professional dan juga merupakan bekas CEO Bank Islam Malaysia Berhad.

Syarikat tujuan khas atau SPV yang mengambil alih aset Tabung Haji dengan bayaran harga premium atau tanpa rugi buat Tabung Haji, adalah Urusharta Jemaaah Sdn Bhd (UJSB). Siapakah ahli lembaga pengarahnya yang merupakan pengurusan tertinggi dalam pengurusan SPV UJSB ini?, mereka adalah Ketua Setiausaha Perbendaharaan Ahmad Badri Mohd Zahir (pengerusi), Setiausaha Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan Rashidah Mohd Sies, Pengarah Pelaburan Hartanah Bumiputera Bhd Mohd Shukri Hussin, Timbalan Setiausaha Fiskal Dan Ekonomi Mohd Hassan Ahmad dan Ketua Seksyen Bahagian Fiskal Dan Ekonomi Imri Dolhadi Ab Wahab.

Siapakah pula CEO bagi syarikat SPV Urus Harta Jemaah Sdn Bhd? Ia telah dijawab oleh pihak Menteri bahawa tiada CEO buat masa ini. Disebabkan itu, operasi hariannya ditampung oleh sebuah lagi syarikat kerajaan iaitu Prokhas Sdn Bhd. Ia adalah sebuah syarikat kerajaan yang memang diamanahkan untuk menguruskan kebanyakan SPV milik kerajaan, ahli Lembaga pengarahnya pula adalah Dato’ Mohd Salleh Mahmud, Tan Sri Datuk Wira Dr. Hj. Mohd Shukor Hj. Mahfar, Dato’ Fauziah Yaacob, Datuk Mohd Nasir Ahmad dan Datin Rashidah Mohd Sies.

Siapakah pula CEO Prokhas Sdn Bhd? Ketua Pegawai Eksekutif Prokhas Sdn BHd ketika ini adalah seorang berbangsa Cina iaitu Chen Yin Heng. Di sinilah isu yang dimanipulasikan, persoalannya adakah aset Tabung Haji dikawal bukan Islam?

Jawabnya, tidak kerana aset yang diurus oleh Prokhas itu tiada kaitan lagi dengan Tabung Haji kerana semua aset yang dahulunya milik TH itu telah dipindahmilik kepada UJSB, maka aset terbabit BUKAN LAGI aset Tabung Haji, ia telah pun dari satu sudut dianggap terjual kepada UJSB atau kerajaan Malaysia dengan harga tanpa rugi buat Tabung Haji (berbanding harga pasaran yang merugikan).

Justeru itu, tidak timbul sama sekali syarikat Prokhas dan CEOnya menguasai apa-apa bahagian dari Tabung Haji atau asetnya. Membaca tuduhan ini dan melihat bagaimana ia disebarkan menunjukkan sama ada ceteknya kefahaman awam terhadap isu ini atau tidak bertanggungjawabnya pihak yang memutarbelitkan isu.

Selain itu, syarikat Prokhas Sdn Bhd juga telah sekian lama menguruskan pelbagai syarikat SPV kerajaan Malaysia sejak dari pemerintahan kerajaan terdahulu, antaranya adalah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP), Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP), Dana Infra dan Dana Harta. Malah Encik Cen Yin Heng juga telah lama berada di posisi beliau sejak dari syarikat Danaharta lagi pada tahun 1998 dan kemudiannya bertukar ke Prokhas sejak tahun 2006 lagi, iaitu sudah bertahun-tahun sebelum ini lagi. Jelas ia bukan lantikan baru oleh kerajaan terkini.

Jadinya, adakah seorang berbangsa Cina telah kini menjadi CEO syarikat yang urus SPV Tabung Haji?

Tidak, kerana SPV tersebut TIDAK mengurus aset Tabung Haji tetapi ia mengurus aset milik syarikat Urusharta Jemaah Sdn Bhd sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan Malaysia yang mewakili Kerajaan Malaysia. Ia tiada kena mengena lagi dengan Tabung Haji kecuali kerajaan Malaysia melalui UJSB dan Prokhas, perlu cemerlang dalam pengurusan aset yang telah dibeli agar mereka boleh membayar hutang mereka kepada Tabung Haji dan tidak menambah beban kerugian ke atas kerajaan Malaysia.

Malah jika mereka gagal memulihkan aset tersebut, kerajaan Malaysia tetap mesti menyelesaikan hutang hasil jumlah pemindahan aset kepada pihak Tabung Haji. Menurut maklumat juga, kerajaan juga akan terus menerus membantu syarikat-syarikat ini melalui pelbagai cara dan insentif. Menamakannya sebagai SPV Tabung Haji juga adalah SALAH dan menunjukkan ketidakfahaman ramai tentang isu ini, kerana sebenarnya UJSB dan Prokhas adalah SPV Kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Kewangan dan bukannya SPV Tabung Haji.

Selain itu, seorang CEO tidak punyai kuasa penuh dalam pengurusan sesebuah syarikat kerana dia sentiasa perlu melaporkan kepada ahli Lembaga Pengarah. Pengerusi Lembaga Pengarah bersama semua ahli Lembaga Pengarah syarikat adalah yang mempunyai kuasa dan autoriti tertinggi serta boleh menukar CEO sekiranya tidak menjalankan tugasan dengan baik lagi kemas.

Sama-samalah kita berdoa agar tabung amanah untuk tujuan mulia - menunaikan ibadah Haji - ini semakin baik. Sudah tentu pihak pengurusan baru sedang melaksanakan tugasan sebaik mungkin bagi mengembalikan zaman keuntungan TH, misalnya ketika tahun 2013 dengan keuntungan bersih sebanyak RM 2.45 bilion setelah ditolak segala liabiliti dan pelarasan.

Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Professor Adjung
Fakulti Perakaunan & Kewangan
Universiti Selangor (UNISEL)
Presiden MURSHID
03 April 2019