Cadangan undang-undang pembaharuan semula bandar - Khalid




Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengemukakan satu perundangan baharu mengenai pelaksanaan pembaharuan semula bandar, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menterinya Khalid Abdul Samad berkata pada masa ini projek pembaharuan bandar dilaksanakan berdasarkan Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar yang dihasilkan kementerian dengan kerjasama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

“Panduan ini menyediakan garis panduan pembaharuan semula bandar yang komprehensif dan bersepadu untuk jangka panjang bagi menangani isu kemelesetan ekonomi, keusangan fizikal, terbengkalai dan tidak ekonomik, dan boleh dilaksanakan pihak kerajaan atau swasta,” katanya.