PRK Semenyih: mesej rakyat untuk diteliti - TPM


Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, satu mesej untuk bersama mendengar apakah isu-isu yang mesti dipertimbangkan dengan lebih mendalam, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah yang juga merupakan Presiden Pakatan Harapan (PH) berkata justeru perlu diambil iktibar dalam apa yang ingin dilakukan sama ada dalam pilihan raya kecil atau besar.

“Kita ada sistem demokrasi, kita ada pilihan dan kami mahukan rakyat tahu kami cuba sedaya upaya untuk rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2019 Parlimen Port Dickson di PD Waterfront di sini, malam ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai keputusan PRK Semenyih yang menyaksikan kemenangan Barisan Nasional (BN) apabila berjaya menawan semula kerusi DUN Semenyih selepas calonnya, Zakaria Hanafi memenangi persaingan empat penjuru pada PRK kawasan itu dengan memperoleh 19,780 iaitu majoriti 1,914 undi.

Zakaria menewaskan calon PH Muhammad Aiman Zainali, yang memperoleh 17,866 undi, Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (847 undi) dan calon bebas yang juga seorang aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56, (725 undi).

Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan PRK Semenyih memberi sedikit gambaran tentang perasaan rakyat terutamanya sentimen disuarakan masyarakat Melayu.

“Kami harus ambil kira tetapi kami harus teruskan tugas dengan baik dan saya yakin diberikan sedikit masa rakyat akan dapat faham mengapa kami ambil langkah-langkah yang sedang diambil dan keterbatasan kami dalam beberapa langkah pelaksanaan program.

Anwar juga berkata corak pengundi juga penting untuk parti itu telitikan.

Katanya dalam proses demokrasi, kami menghormati keputusan yang dibuat rakyat dan itu merupakan hak mereka.

“Sebagai kerajaan iaitu kerajaan negeri Selangor masih kukuh di bawah Menteri Besar Amirudin Shari dan kerajaan persekutuan di bawah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya juga berpendapat Malaysia harus kekal dengan semangat perlembagaan yang telah menjanjikan kedudukan Islam dan Melayu tetapi mesti tegas dalam memelihara keharmonian kaum dan PH harus mewakili sentimen dan keperluan aspirasi semua kaum,” katanya.

Terdahulu, Anwar yang juga merupakan Anggota Parlimen Port Dickson dalam ucapannya berkata kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir sedang berusaha membawa perubahan kepada rakyat bagaimanapun hasilnya tidak mungkin dapat dilihat hanya dalam tempoh beberapa bulan.