Pertemuan Tokoh Dialog Peradaban dan Idealog Rahmatan Lil ‘Alamin


Pertemuan mesra antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Mujahid Yusof Rawa dan penda’wah terkenal Dr. Zakir Naik di ibu negara semalam mendapat liputan media secara meluas.

Secara luaran, kedua personaliti ini mempunyai gaya dan pengikut tersendiri.

Seorang Menteri yang menjaga hal ehwal agama dengan pendekatan baharu manakala seorang lagi merupakan tokoh penda’wah yang cekal berdailog dalam kepelbagaian peradaban dan agama.

Namun, secara asasnya kedua tokoh ini adalah tokoh intelek dunia Islam yang membawa gagasan mereka bagi mendepani cabaran ummat masa kini.

Dr. Mujahid dilapurkan berkata antara perkara yang dibincangkan adalah tiga gagasan yang dibawa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) iaitu 'Rahmatan Lil Alamin', 'Maqasid syariah' dan 'Model Malaysia', selain masalah berita palsu yang dilihat semakin serius di Malaysia - Malaysiakini.

Secara ringkas, 3 gagasan yang dijuarai Dr. Mujahid ini adalah pendekatan Rahmah buat masyarakat majmuk di Malaysia berpandukan kepada tujuan utama Syari’ah dalam kerangka Malaysia.

Membawa gagasan baru ke dalam manamana pentadbiran bukanlah perkara yang mudah. Apalagi berdepan dengan budaya dan world view yang sudah berakar umbi puluhan tahun.

Ianya memerlukan kepada kekuatan politik dan iltizam seorang idealog bagi mempertahankan idea dan gagasan yang dibawa.

Berkongsi gagasan besar ini bersama tokoh antarabangsa sehebat Dr. Zakir Naik menjelmakan keupayaan Dr. Mujahid sebagai idealog ‘Rahmatan Lil Alamin’ (dalam masa yang sama sudah tentu ada beberapa pandangan dan input dari Dr. Zakir yang sempat dikongsi).

Ini sudah cukup memberi gambaran kedua tokoh berjiwa besar dalam berkongsi pandangan dan gagasan dalam usaha mencari titik pertemuan yang harmoni.

Pertemuan selama satu jam ini memberi ibrah yang cukup besar impaknya kepada kita: berbincang dan berkongsi pandangan membuka ruang yang amat luas kepada kefahaman dan kesatuan. Ianya juga menyerlahkan keperibadian idealog Rahmatan Lil ‘Alameen dalam menyebar luas gagasan ini buat ummat Islam dan manusia sejagat di era Malaysia Baharu!