Pemeriksaan Pasport Haji Malaysia Dilaksana Lebih Awal


Jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini, tidak perlu lagi menunggu lama untuk pemeriksaan pasport di Arab Saudi, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Zukri Samat.

Beliau berkata, sistem prapelepasan yang dijadikan projek perintis pada tahun lepas, akan dilaksanakan sepenuhnya pada musim haji tahun ini.

Katanya, melalui sistem itu, jemaah haji Malaysia tidak perlu lagi melalui proses pemeriksaan pasport, Imigresen dan Kastam setibanya di Arab Saudi kerana ia akan dilaksanakan lebih awal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Kita cuba untuk menambah baik mutu perkhidmatan TH pada tahun ini dengan membuat pre-clearance (prapelepasan), di mana jemaah haji Malaysia datang ke KLIA untuk kita buat pelepasan dengan Imigresen Malaysia dan Arab Saudi.

“Maknanya, jemaah haji yang tiba di lapangan terbang Jeddah atau Madinah tidak perlu menunggu lama di lapangan terbang dan mereka akan terus dibawa ke hotel masing-masing,” katanya dalam temu bual dengan Bernama di Wisma Bernama, hari ini.

Zukri berkata, Malaysia negara pertama di dunia yang bekerjasama dengan kerajaan Arab Saudi melaksanakan sistem berkenaan yang lebih teratur untuk kemudahan jemaah haji, selepas kejayaan pelaksanaan projek perintis sistem itu sebelum ini.

Jelasnya, kos bagi kemudahan sistem prapelepasan itu dimasukkan ke dalam kos keseluruhan haji tahun ini, iaitu RM22,900 dengan TH memberi subsidi sebanyak RM12,920 kepada jemaah haji muassasah kali pertama.

Dalam pada itu, Zukri berkata, TH sedang menambah baik mutu perkhidmatan bagi memastikan keselesaan jemaah menunaikan Rukun Islam kelima itu, antaranya menyediakan pendingin hawa di setiap khemah berikutan cuaca panas yang dijangka berlaku pada musim haji itu nanti.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengeluarkan surat tawaran kepada bakal jemaah yang berjaya mulai 18 Februari lepas.

Setakat ini, pihaknya menerima sebanyak 103,000 rayuan bagi permohonan haji dan semua rayuan itu akan mula diproses bulan depan.

Kira-kira 30,000 jemaah haji Malaysia mendapat manfaat daripada projek perintis prapelepasan itu yang dilaksanakan tahun lepas.

Sebelum itu jemaah Malaysia terpaksa menunggu berjam-jam untuk pemeriksaan pasport di Arab Saudi.

– BERNAMA