Mujahid buat 5 laporan polis


Sebanyak lima laporan polis telah dilakukan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri selepas tersebarnya fitnah terhadap kenyataan Menterinya, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan memberitahu kenyataan Mujahid berhubung himpunan membantah penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan agama Islam, Jumaat lalu telah dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, Mujahid juga telah menegaskan bahawa kenyataan asal beliau mengenai perhimpunan itu telah dimanipulasi sehingga tersasar daripada konteks asal.

“Sehubungan itu, wakil pejabat menteri telah pun membuat lima laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, semalam.

“Ingin ditegaskan, meskipun kerajaan hari ini sentiasa terbuka dan menyokong kebebasan bersuara serta kebebasan media, namun dinasihatkan agar masyarakat sentiasa peka dan berhati-hati agar tidak menyebarkan fitnah serta berita palsu,” katanya hari ini.

Khamis lalu, Mujahid dilaporkan berkata tindakan Pemuda UMNO dan Dewan Pemuda Pas yang mengugut untuk mengadakan perhimpunan aman berikutan kes penghinaan Nabi Muhammad SAW dianggap sebagai satu tindakan bersifat politik yang ‘menunggang agama’.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu turut mengatakan tidak melihat kepentingan untuk melakukan sebarang perhimpunan aman kerana pesalah telah dihukum dan dijatuhkan hukuman.