Kerajaan tegas tolak LGBT - Mujahid


Kerajaan tegas dengan pendirian bahawa amalan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak diterima sama sekali di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata kerajaan tidak mengiktiraf sesuatu perbuatan yang salah di sisi undang-undang.

“Saya amat terkejut dengan tindakan segelintir pihak pada hari ini yang menyalahgunakan ruang demokrasi untuk mempertahankan perkara (LGBT) yang salah di sisi agama Islam.

“Mana mungkin kita mengiktiraf sesuatu perbuatan yang salah di sisi undang-undang. Malah, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah menegaskan tentang perkara ini,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Mujahid mengulas mengenai satu perhimpunan hari ini bagi menuntut hak wanita yang diadakan bersempena Hari Wanita Sedunia berhampiran sebuah pusat membeli belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman pagi tadi.

Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Women’s Aid Organization (WAO), Sisters In Islam (SIS) serta penyokong LGBT dilaporkan telah menyertai perhimpunan tersebut.

Antara perkara dituntut kumpulan terbabit pada perhimpunan itu ialah menghapuskan diskriminasi jantina, menghentikan keganasan terhadap wanita dan kesaksamaan gender.

Perhimpunan itu bagaimanapun difahamkan tidak mendapat kebenaran pihak polis.

Mujahid berkata beliau menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri bagi mengambil tindakan tegas kepada penganjur perhimpunan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Shaharuddin Abdullah ketika dihubungi Bernama berkata polis akan memanggil penganjur perhimpunan bagi membantu siasatan dalam tempoh terdekat ini.

Beliau juga mengesahkan perhimpunan itu tidak memperoleh permit daripada polis kerana notis permohonan dikemukakan kepada polis kurang 10 hari dari tarikh perhimpunan itu dijadualkan.

Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012, katanya.