Jangan risikokan kesihatan anak, tolak vaksin akibat maklumat tidak tepat


Ibu bapa tidak sewajarnya merisikokan kesihatan anak-anak mereka dengan menafikan suntikan vaksin imunisasi, meskipun keputusan terakhir untuk memberikan suntikan itu berada di tangan mereka, kata Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE).

Pengerusinya Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata ibu bapa perlu membuat keputusan berhubung soal suntikan ini berdasarkan maklumat yang tepat dan tidak membahayakan kesihatan anak-anak mereka.

Serentak itu, PAGE meminta pihak berwajib memandang serius keputusan kumpulan yang menolak suntikan vaksin untuk anak-anak dengan memberikan mereka didikan lebih komprehensif tentang manfaat dan implikasi suntikan, termasuk kepada masyarakat, katanya.

Beliau berkata PAGE percaya semua kanak-kanak perlu divaksin tetapi mengakui keputusan akhir mengenai perkara itu terletak di tangan ibu bapa.

“Namun, kami lebih cenderung supaya ibu bapa mengambil keputusan bijak dan bermaklumat demi kesihatan anak-anak mereka".

“Kebanyakan ibu bapa yang tidak setuju (vaksin) bergantung kepada mentaliti suara ramai, berbanding membuat pertimbangan secara objektif.

“Malangnya, sesetengah mereka tidak sedar ia hanya membahayakan kesihatan anak mereka dan orang lain,” katanya.

Noor Azimah berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media yang menyebut bahawa kajian sedang dijalankan mengenai kemungkinan kerajaan mewajibkan hanya kanak-kanak yang telah menerima suntikan vaksin imunisasi dibenar memasuki sesi persekolahan.

Sementara itu, Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Datuk Mohamad Ali Hassan menyokong sepenuhnya cadangan itu jika ia dilaksanakan demi kesihatan dan keselamatan masyarakat.

Bagaimanapun, beliau berpendapat Kementerian Pendidikan perlu mencari cara menangani ibu bapa yang mengambil keputusan untuk tidak memberikan suntikan itu bagi anak-anak mereka.

Beliau berkata kementerian perlu mengkaji jika cadangan itu dilaksanakan, adakah perlu diasingkan pelajar yang mengambil dari yang tidak mengambil suntikan vaksin imunisasi, sedangkan sekolah tidak sepatutnya menyekat pelajar-pelajar terbabit daripada mendapat akses kepada pendidikan.

“Kami juga khuatir jika golongan tertentu akan mengambil tindakan terhadap Kementerian Pendidikan jika anak-anak mereka tidak dibenarkan mendapatkan pendidikan di sekolah,” katanya.

Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia Prof Dr Aida Suraya Md Yunus pula berpendapat ibu bapa tidak sepatutnya menafikan hak anak-anak mendapatkan perlindungan vaksin kerana jika tidak, anak-anak ini yang akan menanggung risiko terkena penyakit.

“Ibu bapa tidak boleh menidakkan hak anak-anak mereka untuk divaksin dan mereka juga harus memikirkan kesihatan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.

Menurut laman web MyHealth, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jadual Program Imunisasi Kebangsaan menyatakan bayi baru lahir perlu mendapatkan sejumlah suntikan imunisasi sehingga berusia 15 tahun.