"Banyak program kos besar yang mencurigakan sewaktu saya jadi bendahari PAS dahulu", dakwa Asmuni


Bekas Bendahari Agung Pas Pusat, Asmuni Awi terus mempersoalkan bagaimana pihak tertentu dalam parti Pas mampu mengadakan program tanpa meminta sebarang dana melalui beliau ketika itu selaku bendahari agung parti.

Asmuni, yang kini memegang jawatan sebagai Pengerusi AMANAH Perak, menerusi wawancara eksklusif disiarkan Facebooknya hari ini, memaklumkan setiap program yang dianjurkan menumpukan kepada kos.

“Kosnya banyak… kadang ada sampai RM20,000 dan RM30,000 bergantung kepada skala program tersebut.. Program terbesar ialah Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah, seingat saya bajetnya dalam lebih kurang RM2 juta.

“Program lain pula, menelan kos dalam RM10,000, kadang kosnya RM30,000, ada juga program yang tidak sampai RM10,000. Kadang dalam program berulang seperti Nadwah Permerkasaan Du’at (Nekad).

“Sehingga tarikh pemilihan pada 2016, mengikut catatan saya ini, ia bermula pada 1 September 2014, di Wilayah Persekutuan, Terengganu, Kedah, Johor, Sabah dan Perak.

“Yang menjadi teka-teki di dalam kepala saya ketika itu ialah, tiada satu pun, program-program ini meminta/memerlukan dana daripada saya selaku bendahari pada masa itu.

“Saya bimbang juga terlalu banyak program… katakan kalau satu program di Wilayah Persekutuan memerlukan kos sebanyak RM5,000… ini semua ada enam program.. dah mencecah RM30,000,” jelasnya.

Asmuni yang kini Pengerusi AMANAH Perak menambah, banyak lagi program yang dianjurkan seperti Himpunan Derita Rakyat (Hindar), dan Himpunan Harapan Semua (Harap).

“Ini tidak termasuk lagi program di Sabah dan Sarawak, yang semestinya memerlukan perbelanjaan lebih tinggi, disebabkan tiket kapal terbang, penginapan dan sebagainya.

“Program berjalan.. skala besar pula tu.. yang peliknya tiada satu pun penganjur program ini minta duit atau dana daripada saya sebagai bendahari.. mana mereka ambil duit? Itu yang saya risau sebenarnya.

“Begitu juga dalam program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah. Bajet sebanyak RM2 juta, cuma dalam saat akhir, pengarah program, Datuk Tuan Ibrahim dia bagitahu dalam mesyuarat minta ‘advance’ daripada bendahari sebanyak RM70,000 dan saya bagi seperti yang diminta,” katanya.