TPM : Berita palsu di media sosial semakin membimbangkan



Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah catatan palsu di media sosial sejak kebelakangan ini, terutama yang membabitkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pejabat Timbalan Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, ini termasuk catatan terbaharu oleh akaun Facebook bernama ‘Menteri FB’ yang menyiarkan gambar Timbalan Perdana Menteri bersama Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

“Pejabat Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa gambar yang disertakan dengan caption (keterangan gambar) palsu itu adalah gambar lama.

“Malah, Timbalan Perdana Menteri merasmikan Tasputra PERKIM pada pagi ini dan juga meluangkan masa berkomunikasi bersama pihak media di majlis berkenaan,” katanya.

Gambar yang disiarkan akaun Facebook ‘Menteri FB’ itu turut disertai keterangan gambar: ‘Selepas Azmin Ali (Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dimasukkan ke hospital, tiba pula giliran Wan Azizah Ismail’.

Kata Pejabat Perdana Menteri, catatan itu disertakan dengan pembohongan, termasuk spekulasi bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menggunakan ‘penyakit’ kedua-dua Mohamed Azmin dan Wan Azizah sebagai alasan untuk melantik anak beliau, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Kenyataan tersebut turut memetik kenyataan Dr Wan Azizah pagi tadi yang menyifatkan catatan seumpama itu sebagai usaha berniat jahat daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dan berselindung di sebalik nama samaran untuk mewujudkan ketegangan dalam PH.

Timbalan Perdana Menteri turut meminta semua pihak tidak mudah mempercayai semua yang dibaca di media sosial serta tidak berkongsi apabila tidak pasti.

“Timbalan Perdana Menteri berkata bahawa di kala sosial media sudah merubah cara kita berkomunikasi pada hari ini dan menjadikan dunia tanpa sempadan, perlulah ada rasa tanggungjawab terhadap catatan yang disiarkan,” kata kenyataan itu.