Selain Najib, berikut senarai kes berprofil tinggi yang sudah diambil tindakan pendakwaan


Berikut adalah kes-kes berprofil tinggi melibatkan beberapa tokoh terkenal di Malaysia sejak tahun lepas.

Mereka adalah antara yang didakwa atas pelbagai pertuduhan jenayah termasuk pengubahan wang haram, rasuah dan pecah amanah jenayah.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah :

13 Sept, 2018 - Muhammad Shafee, 67, seorang peguam terkenal, didakwa di Mahkamah Sesyen dis ini atas dua pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah hingga RM9.5 juta daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua pertuduhan membuat suatu penyata yang tidak betul di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menetapkan 15 April bagi pengurusan kes selanjutnya dan perbicaraan ditetapkan selama 10 hari dari 10 Jun hingga 20 Jun, 2019.





Datin Seri Rosmah Mansor :

4 Okt, 2018 - Rosmah, 67, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan RM7,097,750, dan lima pertuduhan gagal mengemukakan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 21 Mac bagi pengurusan kes.

15 Nov, 2018 - Rosmah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan meminta suapan RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta bagi projek untuk projek bekalan elektrik kepada sekolah-sekolah bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

15 Feb ditetapkan untuk sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad dan 15 Mac ditetapkan untuk prosiding bagi memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.





Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi :

19 Okt, 2018 - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, 66, yang juga presiden UMNO mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 10 pertuduhan pecah amanah jenayah dan lapan pertuduhan rasuah membabitkan RM42,083,132.99 dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72,063,618.15.

14 Dis, 2018 - Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini dengan tambahan pertuduhan pecah amanah jenayah berjumlah RM10 juta milik Yayasan Akalbudi.
Kes ditetapkan untuk sebutan di hadapan Hakim Rozina Ayob pada 20 Feb.





Datuk Hasanah Abdul Hamid :

25 Okt, 2018 - Hasanah, 61, bekas ketua pengarah Bahagian Penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan pecah amanah melibatkan wang sebanyak USD12.1 juta (RM50.43 juta) milik kerajaan Malaysia dan kes itu ditetapkan untuk sebutan di hadapan Hakim Rozina Ayob pada 21 Feb.

Tan Sri Musa Aman :

5 Nov, 2018 - Bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Musa Aman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di Sabah melibatkan USD63.3 juta. Kes ditetapkan untuk sebutan di hadapan Hakim Rozina Ayob pada 20 Feb.

Datuk Rizal Mansor :

Nov 15, 2018 - Rizal, 45, bekas pegawai khas kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa di Mahkamah Sesyen, din sini atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah, melibatkan RM5.5 million, untuk dirinya dan Datin Seri Rosmah Mansor, berhubung pembekalan dan pemasangan Projek Bersepadu Sistem Solar untuk sekolah luar bandar di Sarawak.





Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor :

Nov 15, 2018 - Datuk Seri Tengku Adnan, 69, bekas Menteri Wilayah Persekutuan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima RM1 juta daripada ahli perniagaan, Tan Eng Boon dan tuduhan pilihan menerima rasuah RM1 juta daripada orang yang sama bagi meluluskan permohonan oleh sebuah syarikat untuk menaikkan ratio plot berkaitan pembangunan di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Mahkamah menetapkan enam hari dari 2,3,4,9,10 dan 11 Julai untuk perbicaraan di hadapan Hakimj Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.
15 Nov, 2018 - Tengku Adnan didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Chai Kin Kong dan kes ditetapkan untuk sebutan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 28 Feb.

Datuk Tan Eng Boon :

15 Nov, 2018 - Tan, 70, seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memberi suapan wang berjumlah RM1 juta kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, untuk mendapatkan kelulusan bagi permohonan sebuah syarikat menaikkan plot ratio bagi pembangunan di Jalan Semarak pada 2013.
Kes ditetapkan untuk sebutan di hadapan Hakim Azura Alwi pada 15 Feb.

Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad :

14 Dis, 2018 - bekas pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, 70, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan pecah amanah jenayah dan sembilan pertuduhan rasuah, membabitkan lebih RM3 juta berhubung pembelian hotel di Kuching, Sarawak, oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Tarikh 26 Feb ditetapkan untuk sebutan di hadapan Hakim Azura Alwi.






Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim :

16 Jan, 2019 - Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, 52, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan menerima rasuah, berjumlah RM5.2 juta, berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah, dan sembilan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan hampir RM140 juta.

Sementara itu, abang Abdul Azeez iaitu Datuk Abdul Latif Abdul Rahim, 61, didakwa atas dua pertuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez menerima rasuah berjumlah RM4 juta bagi beberapa projek pembinaan lebuh raya dan menaik taraf jalan raya.

Kes ditetapkan untuk sebutan di hadapan Hakim Azura Alwi pada 27 Mac.