Presiden PAS tarik balik saman, Clare anggap ia bukti kejayaan dan kebenaran laporan Sarawak Report


Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, berkata dia berpuas hati dengan penyelesaian luar mahkamah dalam saman Presiden PAS Abdul Hadi Awang terhadapnya.

Memetik sumber Malaysiakini, Clare berkata, dengan penyelesaian itu juga rencana yang disiarkan portal Sarawak Report mengenai PAS dan disaman Abdul Hadi itu kekal dan tidak ditarik balik. "Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan dan membantu saya dalam cubaan PAS membuli melalui undang-undang ini.


"Saya tidak berganjak. Rencana terbabit kekal disiarkan dalam talian serta tidak diubah walaupun ada cubaan menutup mulut saya dan memperlecehkan saya sebelum PRU lalu," katanya. Menurut Clare dia berpuas hati dengan penyelesaian tersebut walaupun sebenarnya berharap dapat bersemuka dengan pihak yang menyamannya di mahkamah.

Sarawak Report ialah portal yang mula-mula membongkar skandal 1MDB dan melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak. Pada 6 Ogos 2016 ia mendakwa Najib menarik sokongan PAS kepada Umno dan BN dengan menyalurkan dana berjumlah RM90 juta beberapa pemimpin kanan parti berkenaan.


PAS menafikan dakwaan tersebut dan memulakan proses perundangan bagi menyaman Clare. Abdul Hadi mengemukakan saman di sebuah mahkamah di London pada 21 Apr 2017.

Hari ini setiausaha politik Abdul Hadi, Syahir Sulaiman, menyatakan Abdul Hadi bersetuju untuk mendapatkan penyelesaian luar mahkamah terhadap samannya kepada Clare.

“Setelah Datuk Seri Abdul Hadi Awang meneliti keseluruhan tindakan mahkamah yang difailkan oleh beliau terhadap Clare Rewcastle Brown (defendan) dari semua aspek, dan juga setelah mempertimbangkan pandangan serta nasihat peguam beliau, dimaklumkan bahawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat ketetapan untuk memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah melalui Perintah Persetujuan bertarikh 1 Februari 2019 di Mahkamah Tinggi London," katanya dalam suatu kenyataan.

Menurut Syahir penyelesaian dibuat itu membabitkan Abdul Hadi menarik balik tuntutan terhadap Clare, editor Sarawak Report itu pula menarik balik tuntutan balas terhadap Abdul Hadi. “Tiada perintah berkenaan kos dan kedua-dua pihak tertakluk kepada persetujuan kerahsiaan terma-terma berkaitan penyelesaian ini,” katanya.

Menurut Clare dia menganggap penyelesaian tersebut sebagai suatu "kejayaan dan kebenaran penuh" di pihaknya. Bagaimanapun Clare menegaskan dia tidak boleh mendedahkan terma penyelesaian tersebut kerana terikat dengan persetujuan mengenainya.