PAS sudah belanja RM 2.1 juta untuk kes Saman SR - Setiausaha Agung PAS


PAS membayar lebih RM2.1 juta hasil sumbangan ahli bagi menampung kos guaman pengendalian kes saman presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pembayaran itu dibuat bermula 30 November 2016 dan sehingga Jun lalu.

"Daripada rekod, kita telah membayar yuran guaman bermula 30 November 2016 hingga Jun 2018 daripada jumlah kutipan yang dimasukkan di bawah satu akaun PAS berjumlah £355,550.82.

"Jumlah itu bersamaan RM2,117,870.85 dan peguam tersebut kini menghantar bil kepada Abdul Hadi yang belum kita bayar sebanyak £25,000," katanya ketika menjawab soalan pada sesi perbahasan penyata kira-kira tahunan PAS pada Muktamar PAS ke-64, di Kuala Terengganu.

Terdahulu, perkara itu dibangkitkan oleh perwakilan PAS Temerloh yang bertanya mengenai jumlah kutipan bagi mendanai kes saman terdapat Sarawak Report itu. Justeru Takiyuddin berkata, pihaknya masih memerlukan satu jumlah yang besar bagi menampung keperluan kos guaman sekiranya kes diteruskan.

Duit dikutip atas dasar solidariti Anggota parlimen Kota Bharu itu menjelaskan, kes saman Sarawak Report tidak melibatkan PAS sama sekali sebaliknya melibatkan Abdul Hadi. "Isu Sarawak Report saya rasa bukan isu yang asing, namun demikian saya sebutkan sekali lagi ini kes antara Mr Awang atau Abdul Hadi Awang lawan Rewcastle Brown.

"Tidak ada PAS dalam saman terhadap Sarawak Report ini, oleh sebab itu kes ini tidak ada kaitan dengan PAS. "Duit yang dikutip daripada ahli, atas dasar solidariti sokongan ke atas Datuk Seri presiden yang menyaman Sarawak Report," katanya.


Sumber : https://www.malaysiakini.com/news/443300