Pandangan Pakar Dalam Selamatkan TH




Tabung Haji (TH) boleh diselamatkan dengan pengurangan pemberian hibah atau bonus kepada pendeposit yang jumlahnya berbilion ringgit setiap tahun.

Penganalisis Ekonomi dari Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, melalui kaedah itu TH dapat menampung subsidi untuk jemaah haji dan pengiring.

Meskipun TH kemungkinan berdepan risiko pendeposit membuat pengeluaran secara besar-besaran kerana pulangan yang sedikit namun rakyat perlu sedar tujuan sebenar TH.

“TH perlu jana keuntungan setiap tahun untuk penuhi tiga cabaran iaitu tamping kos operasi, tamping subsidi dan beri hibah. Tapi saya fikir hibah itu tinggi jadi kalau dapat kurangkan sedikit, TH akan dapat tamping kos subsidi.

“Secara tak langsung subsidi boleh dibekalkan kepada jemaah dan pengiring cuma risikonya apabila hibah diturunkan, pendeposit berkemungkinan akan menarik keluar sebab majoriti simpan nak dapat pulangan.

“Pendeposit perlu faham, mereka letak duit di TH itu bukan untuk mendapatkan pulangan tapi untuk pergi haji. Maknanya tak apalah hibah itu tak dapat janji yang nak pergi haji ini dapat pergi dengan harga yang rendah,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, setiap tahun TH memberikan hibah yang tinggi sekitar 5 hingga 6 peratus sehingga institusi itu menjadi pilihan penyimpan malah ada yang sengaja menyimpan sejumlah wang yang banyak meskipun bukan bertujuan untuk menunaikan haji.

Sebelum ini, TH membuat pembayaran RM2.88 billion dengan 4.25 peratus hibah tahunan dan tambahan hibah haji sebanyak 1.5 peratus kepada pendeposit yang belum menunaikan haji bagi tahun kewangan 2016.

Bagi tahun kewangan 2017 pula, TH mengumumkan agihan hibah sebanyak RM2.7 billion dengan 4.50 peratus dan tambahan hibah haji 1.75 peratus kepada yang belum menunaikan haji. Beliau turut member subsidi hanya kepada golonga B40 dan warga emas termasuk pengiring.

“ Bagi saya kalau kita bagi subsidi kepada golongan B40 sahaja, tak ada isu untuk beri pengiring mereka subsidi juga.

“Sebab dapat tamping dengan golonga  T20 yang dikenakan harga sebenar namun golongan M40 mungkin boleh mengikut keadaan dan pertimbangan TH,” katanya.

Katanya, langkah menaikkan kos menunaikan haji yang dibayar jemaah akan membebankan rakyat ketika sedan berdepan kenaikan kos sara hidup.

Dalam pada itu beliau turut bersetuju cadangan agar TH menghadkan simpanan pendeposit dalam TH seperti Amanah Saham Berhad (ASB).

“Saya harap sekiranya berlaku deposit atau pengeluaran besar-besaran, atas sukarela TH boleh laporkan kepada Bank Negara sebab sekarang ini TH tidak ada akta bank menyebabkan TH berisiko menjadi tempat pengubahan wang haram.

“Orang yang berduit ini suka masukkan dan keluarkan banyak-banyak di TH kerana tidak diberitahu kepada Bank Negara. Jadi kalau laporan dibuat, secara tak langsung tidak menggalakkan pendeposit buat transaksi dengan jumlah yang banyak,” katanya.


Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/14546/BERITA/Nasional/Selamatkan-TH-Ini-pandangan-pakar