Nik Abduh didesak lepas jawatan


Pakatan Harapan (PH) kawasan Bachok hari ini telah membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Bachok Nik Abduh Nik Abdul Aziz, atas dakwaan penglibatannya dalam skandal penerimaan RM90 juta sebagaimana dilaporkan Sarawak Report.

“Dakwaan ini menjadi semakin kuat apabila Pas bertindak menarik balik saman fitnah yang dikemukakan oleh mereka terhadap Sarawak Report ,” kata Pengerusi PH Bachok Zullkifli Zakaria selepas menyerahkan laporan polis di IPD Bachok pagi tadi.

“Adalah dipercayai pihak peguam yang dilantik oleh Pas sendiri telah mendapat pengesahan audio itu benar-benar milik Nik Abduh melalui ujian yang dijalankan oleh sebuah makmal forensik di London,” katanya.

Menurutnya PH Bachok menuntut supaya polis mengadakan siasatan mengenai penglibatan Nik Abduh dalam skandal rasuah atau skandal 1MDB.

“Pihak kami juga mendesak supaya Nik Abduh meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen kerana beliau sudah hilang integriti untuk mewakili Parlimen Bachok,” katanya.

Lebih 100 orang penyokong PH Bachok mengiringi beliau membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok bagi menuntut satu siasatan dijalankan ke atas YB Nik Abduh atas dakwaan bahawa beliau mengakui menerima wang (dipercayai sebagai rasuah) daripada Umno, sebagaimana rakaman audio yang tular setahun lalu.

Menurut laporan media Mac tahun lalu rakaman suara itu antara lain mendedahkan beberapa pemimpin Pas ada mengambil wang daripada Umno, selain orang yang dituduh Nik Abduh itu mendakwa mempunyai hubungan dengan pihak Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.

Beberapa nama turut dipetik dalam rakaman audio itu termasuk Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, ketua penerangan Nasrudin Hassan dan menantu presiden parti berkenaan Zaharudin Muhammad.

Ketika petikan pertama rakaman itu disebarkan, Nik Abduh sudah membuat penafian.

Katanya dakwaan berkenaan adalah “karut, mengarut dan fitnah” terhadap dirinya serta Pas.

“Ia hanya sampah yang tak layak dimakan kecuali pelahap fitnah seperti PAN (Parti Amanah Negara) dan sekutunya.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya,” kata Nik Abduh ketika itu.