Lelaki hina Nabi didakwa hari ini


Lelaki warga emas, Wai Foo Sing, 68, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan memuat naik karikatur dan menghantar komunikasi jelik yang menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah di Facebook (FB) pada 17 Februari lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Wai didakwa memuat naik karikatur yang dikatakan menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda di FB miliknya Foo Sing Wai, pada 5 petang, 17 Februari lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 298 A(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara sedar memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada masa dan tarikh yang sama.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda RM50,000 atau penjara setahun.