Kes dah selesai luar mahkamah, mengapa Clare masih sebut tentang RM 90 juta? soal Nik Amar


PAS menyifatkan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown tidak jujur apabila masih lagi memanjangkan isu berkaitan penyaluran dana RM90 juta daripada UMNO kepada parti itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata sepatutnya Clare tidak lagi membangkitkan perkara itu kerana ia telah diselesaikan di luar mahkamah selepas persetujuan bersama dicapai oleh PAS dan editor itu.

"Saya tidak faham kenapa Clare masih menulis dan terus menyerang PAS berkaitan isu ini. Sikap begitu tidak betul dan menunjukkan Clare tidak jujur kerana bagi kita kes itu sudah diselesaikan di luar mahkamah.





"Sepatutnya dia mengikat dirinya dengan persetujuan yang telah dicapai itu dan tidak lagi memanjangkan isu ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Kafe Al Khatiri Kofee di sini, hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan Pengarah Urusan Al Khatiri, Salim Salleh.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 2 Feb lepas memutuskan untuk memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah berhubung kes saman beliau terhadap pengasas dan editor Sarawak Report selepas meneliti keseluruhan tindakan mahkamah yang difailkan daripada semua aspek dan mempertimbang pandangan serta nasihat peguam.

Clare Rewcastle Brown selaku defenden, dan editor Sarawak report itu juga menarik balik tuntutan balas terhadap Presiden PAS itu.





Dalam pada itu Mohd Amar berkata tuduhan Claire terhadap PAS berhubung penyaluran dana itu juga lebih kepada dakwaan tanpa asas dan bukti yang kukuh.

"Bagi kita bila dia bersetuju untuk menyelesaikan perkara ini di luar mahkamah, ia salah satu tanda dia tiada bukti yang kukuh," katanya.