Kerajaan luluskan peruntukan tambahan RM25 juta untuk sekolah agama rakyat, sekolah agama persendirian


Kementerian Kewangan buat pertama kalinya meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM25 juta kepada Kementerian Pendidikan untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah agama rakyat dan sekolah agama persendirian berdaftar.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata dana tambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan dalam Belanjawan 2019 untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah dan institusi pendidikan sebanyak RM677 juta, berbanding RM600 juta pada tahun sebelumnya.

"Kerajaan mengambil berat hal ehwal dan kebajikan pelajar, sekolah dan institusi pendidikan supaya kualiti pendidikan yang disampaikan mencapai tahap memuaskan.

"Kerajaan juga mahu memastikan suasana pembelajaran pelajar selamat dan sihat," katanya pada majlis penyampaian cek peruntukan itu kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, di sini hari ini.

Lim berkata Belanjawan 2019 juga memperuntukkan sebanyak RM25 juta untuk sekolah pondok berdaftar, RM50 juta kepada sekolah tahfiz berdaftar dan RM15 juta kepada Universiti Islam Malaysia.

Sementara itu, Maszlee berkata Kementerian Pendidikan melalui sebuah jawatankuasa akan mengenal pasti sekolah agama rakyat dan sekolah agama persendirian yang berpotensi untuk menjadi sekolah berprestasi tinggi untuk diberi keutamaan di bawah peruntukan itu.

Beliau berkata satu mekanisme akan dibentuk untuk menentukan sekolah-sekolah yang memerlukan bantuan berdasarkan kepada tiga kriteria iaitu prestasi, kualiti dan kebolehan memberi impak kepada pelajar.

"Ini bagi membolehkan sekolah berkenaan menjadi model dan contoh kepada pendidikan yang berkualiti dalam kalangan mereka," katanya.

Maszlee berkata meskipun sekolah agama rakyat dan sekolah agama persendirian tidak terletak di bawah Kementerian Pendidikan secara langsung, namun kerajaan mahu membantu sekolah berprestasi tinggi agar pendidikan yang dinikmati pelajar benar-benar berkualiti.

Bagaimanapun, syaratnya ialah sekolah terbabit berdaftar dan tidak dimiliki oleh parti atau ahli politik, selaras dengan matlamat kerajaan untuk memisahkan pendidikan daripada pengaruh parti politik.