JAWI Membawa Pendekatan RAHMAH Dengan Menyediakan Mesin Beras Di 85 Masjid



Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) adalah salah satu agensi di bawah pentabiran Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama) menjangka 85 masjid di Wilayah Persekutuan bakal dilengkapi mesin ATM beras, khusus bagi membantu 23,000 asnaf yang berdaftar dengan pihaknya menerima beras secara percuma.
Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail, berkata rancangan penempatan mesin ATM beras di masjid itu akan dibincangkan lebih lanjut pada persidangan antara Jawatankuasa Masjid-masjid Wilayah Persekutuan bulan depan.
“Mesin ATM beras pertama dilancarkan di Masjid Al-Akram, Datuk Keramat malam ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesin ATM beras, di sini.
Mesin ATM berharga RM19,000 itu adalah kiosk pertama dalam negara dan mempunyai dua fungsi, iaitu mengeluarkan beras mengikut kuantiti diperlukan dan mempunyai tabung derma bagi mereka yang ingin menyumbang wang untuk tujuan isian semula.
Beliau berkata sehubungan itu JAWI mengalu-alukan sumbangan daripada badan-badan korporat untuk menjadi rakan strategik bagi bersama-sama memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.
“Badan-badan korporat yang mempunyai bajet Tanggungjawab Sosial Korporat diharap dapat menjadi rakan strategik masjid dan JAWI, dalam usaha mempermudahkan penyaluran bantuan kepada asnaf dan golongan yang memerlukan,” katanya.
Pada majlis itu 10 asnaf dari kawasan Datuk Keramat menerima kad pintar mesin berkenaan, yang melayakkan mereka menerima dua kilogram beras seminggu secara percuma. – BERNAMA