Individu kes samun dalam lif MRT diberkas Polis


Polis hari ini menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Taman Cheras, Jalan Cheras di sini, kerana disyaki menyamun seorang wanita dalam sebuah lif di Stesen Aliran Transit Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras, Khamis lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata lelaki berusia 26 tahun itu ditahan sepasukan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras kira-kira 8.10 malam ini.

“Suspek akan direman esok bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan. 

Khamis lepas, seorang wanita berusia 48 tahun ditumbuk serta ditendang beberapa kali dalam kejadian samun dalam lif di stesen MRT Taman Mutiara, Cheras. 

Dalam kejadian kira-kira 6.45 pagi itu, suspek mengekori mangsa yang menaiki lif seorang diri sebelum bertindak menyerang serta melarikan barang milik mangsa. 

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dengan bengkak di dahi serta beberapa bahagian badan.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 57 saat memaparkan tindakan suspek memukul mangsa tanpa belas kasihan dalam lif itu turut tular di laman sosial.