Ibu sujud syukur, 47 tahanan bebas dari penjara Kemboja


Ibu kepada seorang tahanan warga Malaysia di Penjara Provinsi Banteay Meanchey, Kemboja, Zunita Sedini, bersujud syukur sebaik menerima berita pembebasan anaknya selepas dua bulan ditahan di sana.

Yusuf Islam Abdul Halik, 21, dari Sarawak bersama 46 lagi tahanan warga Malaysia disahkan telah dibebaskan oleh Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican.

Zunita, 42, yang baru tiba di sini pada 4.00 petang ini selepas melawat anak sulungnya bersama rombongan yang dikendalikan Ahli Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien berkata, beliau seperti tidak percaya dengan berita yang baru diterimanya itu.

“Alhamdulillah, tidak terkata saya bila dengar berita ini. Perasaan saya bercampur-baur. Gembira bercampur sedih,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Pada 7 Februari lepas, ibu kepada enam anak, itu merayu bantuan kerajaan untuk membawa pulang anaknya Yusuf Islam bersama 46 lagi rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Kemboja dalam satu sidang media.

Wisma Putra kemudian mengesahkan 47 rakyat Malaysia ditahan di Poi Pet, Kemboja sejak 11 Disember lalu kerana disyaki terlibat aktiviti perjudian dalam talian secara haram namun hanya dimaklumkan secara lisan oleh polis Bantey Meanchey pada 28 Disember.

Seramai 40 daripada 47 tahanan itu berusia 19 hingga 44 tahun berasal dari Sarawak, empat dari semenanjung manakala tiga lagi dari Sabah.

Semalam, wakil kerajaan Sarawak diketuai oleh Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah turut mengadakan perjumpaan dengan kesemua 47 tahanan untuk melihat kebajikan dan keperluan mereka di sana.

Kebebasan kesemua warga Malaysia adalah hasil daripada beberapa perundingan dibuat diantara pihak kerajaan Kemboja dan Malaysia.