Hina Nabi : Pemuda AMANAH buat laporan Polis


Telah tular di media sosial mengenai sebuah akaun FB bernama “Foo Sing Wai” yang mengeluarkan gambar dan kata-kata penghinaan kepada junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w.

Status yang dimuat naik pada hari ini yang disertakan bersama karikatur yang dikatakan Nabi Muhammad dan Aishah r.a. dalam keadaan mengaibkan itu mendapat kecaman dan reaksi pelbagai pihak lebih-lebih lagi mereka yang beragama Islam.

PEMUDA AMANAH JASIN bersama PEMUDA AMANAH NEGERI MELAKA yang diketuai oleh En. Mohd Zulkhairi Bin Abd Aziz dan Ustaz Nor Khairi Bin Yusof telah bertindak membuat laporan polis di IPD JASIN jam 4.00 petang pada 18 Februari 2019 berkenaan tindakan terkutuk pemilik akaun FB “Foo Sing Wai” yang melakukan tindakan tidak bermoral itu. Perkara ini tidak sepatutnya dibuat kerana ianya akan menggugat keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang hidup berbilang bangsa dan agama.

Selain itu, jika nyata ianya ialah akaun palsu, kami meminta kerjasama Suruhanjaya Khas Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk bertindak mengesan dan mengambil tindakan ke atas sang pelaku ini.

Penghinaan terhadap baginda Rasululllah s.a.w. ini sangat besar kesannya lebih-lebih lagi kepada kami yang beragama Islam. Kami juga berdoa kepada pelaku yang melakukan perkara ini supaya beliau diberikan hidayah dan dikurniakan cahaya iman ke dalam hatinya.

Bersamalah kita menjaga dan menghormati antara satu sama lain akan nilai bangsa serta agama lain, supaya kita dapat hidup dalam suasana yang harmoni tanpa prejudis. Semoga mereka yang bersalah ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.


Mohd Zulkhairi bin Abd Aziz
Ketua Pemuda AMANAH Kawasan Jasin