Audio Nik Abduh isu kecil, kata Tuan Ibrahim


PAS menganggap isu rakaman suara anggota jawatankuasa pusatnya Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berhubung penerimaan dana daripada Umno sebagai isu kecil.

Timbalan Presiden parti Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga berkata PAS menganggap isu dana RM90 juta yang didakwa diterima daripada Umno telah selesai selepas semakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap akaun rasmi parti mendapati dana tersebut tidak wujud.

“Kami berterima kasih kepada SPRM yang membersihkan PAS berhunung isu ini melalui siasatan. Ternyata ia fitnah dan satu pembohongan kerana PAS tidak terlibat dengan isu ini.

“Begitu juga isu rakaman suara Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, kita anggap ia isu kecil,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Murabbi Ummah di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad lV di sini, malam tadi.

Sebelum ini, sebuah portal berita yang memetik sumber SPRM melaporkan siasatan badan itu mendapati tiada dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disalurkan ke akaun rasmi PAS.

Laporan itu juga menyebut penemuan adalah hasil penelitian SPRM ke atas akaun bank PAS dalam siasatan berhubung dakwaan pemimpin parti berkenaan menerima RM90 juta daripada Umno.

Nik Mohamad Abduh pula sebelum ini dilaporkan berkata tindakan beliau menafikan rakaman audio mendakwa dirinya menerima dana daripada Barisan Nasional sebelum pilihan raya umum lalu kerana mahu menjaga reputasi partinya.

Mengulas pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih, Tuan Ibrahim berkata PAS akan terus bekerjasama dengan UMmno.

“Gerakan jentera parti kita bina bersama. PAS tidak bertanding dan akan memberikan sokongan kepada Umno, kami tidak boleh berbalah sama sendiri,” katanya.

PRK itu diadakan selepas penyandang daripada Pakatan Harapan, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia pada 11 Jan lalu akibat serangan jantung.

Penamaan calon PRK itu akan berlangsung esok manakala hari pengundian ditetapkan pada 2 Mac dan undi awal 26 Feb ini.