Terengganu dijangka naikkan tarif air


Rakyat Terengganu bakal berdepan kenaikan tarif air seperti negeri-negeri lain berikutan kadar sedia ada tidak pernah dinaikkan sejak 22 tahun lalu, kata Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.


Beliau berkata Terengganu adalah antara tiga negeri yang tidak pernah menaikkan kadar tarif air dalam tempoh itu.
“Cadangan kenaikan ini sedang diteliti dan hari ini, kita telah mendengar taklimat yang disampaikan wakil Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli tentang keperluan melaksanakan tarif baharu dan impaknya kepada kewangan syarikat pengurusan air di semua negeri.
“Kita akan pertimbangkan dan lihat secara terperinci impaknya kerana objektif utama kita adalah meminimumkan kesan kenaikan itu kepada rakyat terutama yang berpendapatan rendah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Tugas Pegawai Kanan Negeri di sini hari ini.
Baru-baru ini, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar berkata kadar tarif air mungkin akan dinaikkan secara berperingkat tahun ini selaras dengan usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.
Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri akan melakukan kajian yang terperinci dari segenap aspek termasuk segmen pengguna serta kenaikan yang sesuai untuk setiap kategori (domestik dan industri).
“Hasil keputusan itu akan dimuktamadkan sebelum akhir bulan ini dan seterusnya akan dimaklumkan kepada kementerian.
“Justifikasi terhadap kenaikan tarif air itu memang ada kerana setelah 22 tahun menggunakan tarif air yang sama, sudah pasti ada berlaku peningkatan kos operasi, namun kita beri jaminan kesannya nanti adalah sangat minimum untuk rakyat berpendapatan rendah,” katanya yang belum bersedia mendedahkan jangkaan kenaikan tersebut.