Melayu Bangkit !


Oleh : Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa

Entah berapa tahun dalam hidup kita ini, tahun baru menjengah dan entah berapa kali azam baru kita terperam sekian lama. 

Selain azam peribadi terkait dengan peningkatan diri, karier mahupun kehidupan lebih baik, ramai yang tidak tumpukan kepada azam untuk orang Melayu pada setiap tahun baru.

SAYA ORANG MELAYU

Kali ini saya mahu berazam untuk melihat 'Orang Melayu Bangkit'. Iaitu kepimpinan Melayu yang efektif, Melayu daripada gagasan Malaysia Baru dan Melayu yang progresif dan inklusif.
Azam tahun ini bermula dengan pengakuan awal bahawa saya adalah Melayu 100% dari ibu dan ayah saya secara biologikalnya. Walaupun leluhur saya dari etnik Rawa atau Rao dari Sumatera, namun etnik ini juga tergolong dalam kategori Melayu. Sebelum sesiapa mempertikaikan azam saya tentang Melayu, lebih baik saya memperakui kepentingan saya dalam tajuk ini.

ROMANTISMA MELAYU

Perkataan 'Melayu Bangkit' ada berbagai konotasi kepada sesetengah pihak. Bagi saya, bangkitnya Melayu bukan bererti mereka bangkit untuk mewajarkan 'ketuanan' bani Melayu tetapi 'bangkit' adalah untuk mereka menjadi titik sambung kepada kerangka besar masyarakat yang majmuk. Bagi saya 'Ketuanan Melayu' adalah satu lena panjang yang menyisihkan orang Melayu dari realiti kemajmukan yang kita warisi selama ini.

Romantisma Melayu sebagai tuan di bumi bertuah ini, harus diwajarkan dan dijajarkan dengan sifat kepimpinan Melayu. Apakah sifat kepimpinan Melayu? Kepimpinan bermula dengan membimbing dan menunjuk jalan yang membawa keuntungan bersama dengan satu matlamat yang jelas. Maka kepimpinan Melayu mesti berperanan demikian dalam membawa masyarakat Malaysia yang rencam kepada satu matlamat negara yang akhirnya membawa kesejahteraan untuk semua. 

Romantisma Melayu kadangkala dicelarukan dengan kelompok yang mendakwa kepimpinan Melayu tetapi mereka menunjukkan sifat diktator dalam membawa orang lain agar memaksa tunduk kepada Bani Melayu walaupun dengan ugutan dan kekerasan. Apakah ini sifat kepimpinan Melayu? 

MELAYU YANG MULIA

Melayu punya sejarah panjang terhablur dalam ketinggian adat resam bersendikan syarak. Bukan baru kehebatan kepimpinan Melayu dari adat berkias kepada keris yang dilibas, dari ketegasan keputusan kepada rundingan berkesan dan dari keberanian sehingga sanggup berkorban. Semua keperibadian Melayu ini telah menyediakan mereka untuk memimpin dan membimbing dalam apa jua suasana yang dilalui.


Melayu tidak pernah mendakwa ketuanan tetapi menawarkan kepimpinan yang adil dan rundingan yang menghasilkan keuntungan bersama jauh sekali Melayu yang memaksa atau Melayu yang membina tembok antaranya dan dunia luar. Saya melihat lagak sesetengah kepimpinan Bani Melayu yang melaungkan Melayu dengan lenggok mengugut dan mengancam hanya membina tembok yang semakin menebal di mana tanpa disedari, Bani Melayu akan terus tersisih dan terkurung dalam penjara yang mereka bina sendiri.

KENALI MEDAN TEMPUR KITA

Alam Melayu bukan tidak pernah dijajah, namun ia mengajar kepimpinan Melayu bangkit semula dengan membina kekuatan dan menghimpun tenaga menuju kepada perkara besar membebaskan bumi Melayu. Kepimpinan Melayu melakukan perkara besar dalam sejarah mereka bukan sekadar berhimpun sambil mengungkap laungan 'Hidup Melayu! Bangkit Melayu.' Melayu juga melakukan benda besar menentukan mana medan tempurnya, bukan mencipta medan tempur dengan 'musuh khayalan' kononnya Melayu terancam, tetapi diam ketika negara memang terancam dari musuh Bani Melayu sendiri!


MALU DAN MELAYU

Kepimpinan Melayu punya satu nilai besar yang memandu kepimpinannya. Satu nilai yang terkenal dengan orang Melayu ialah sifat 'malu'. Orang Melayu memang terkenal malunya malah sejenis tumbuhan disebut daun 'semalu' kerana karakter itu hampir dengan kehidupan orang Melayu. Malu dalam budaya orang Melayu bukan sekadar memelihara malu dalam tingkah-laku tetapi malu sebagai sistem nilai yang menolak segala jenis perkara yang mengaibkan manusia lain, menolak ketidakadilan dan malu apabila berdiam-diri kepada sesuatu kemungkaran. 


Buat baik berpada, buat jahat jangan sekali adalah ungkapan nilai malu kepada kerosakan. Bangkitkah orang Melayu hari ini apabila mereka tidak malu-malu menabur fitnah? Mengaibkan orang? Memaki-hamun, menyebarkan kebencian? Lebih memalukan saya orang Melayu ialah semua ini dilakukan bertopengkan nama Bani Melayu dan agama Islam yang suci!

ISLAM DAN MELAYU

Kepimpinan Melayu tidak akan terpisah daripada nilai sistem Islam secara Akidah dan Akhlaknya. Semua ajaran Islam menyeru kepada kebaikan dan menolak sebarang kerosakan dan keburukan. Bangkitnya orang Melayu ialah demi membawa kebaikan pada dirinya dan kepada orang lain. Satu perkara yang diajar oleh Islam ialah menolak 'perkauman sempit' dan ketaksuban kaum melampau. Kebanggaan kaum dan bangsa tidak boleh melampaui batasan keadilan dan batasan kemanusiaan yang ditetapkan oleh Syariah. 


Orang Melayu akan bangkit apabila dipandu oleh prinsip-prinsip ini malah akan dilihat mampu memberi jaminan kehidupan aman dan damai untuk semua.
Melayu masih diulit mimpi dalam lena panjang mereka jika laungan 'Hidup Melayu, Bangkit Melayu' disuntik dengan ketaksuban dan retorik perkauman sempit sebagaimana sesetengah Bani Melayu lakukan hari ini.

ROBOHKAN TEMBOK

Azam saya 2019 ialah supaya orang Melayu bangkit dan merobohkan tembok yang memenjarakan diri mereka selama ini kononnya mereka terancam. Mereka yang rasa dirinya 'terancam' sentiasa dipandu oleh ketakutan, tidak yakin diri dan memandang manusia dengan mata prejudis.

Hanya dengan kebangkitan ini kita boleh membimbing orang lain memaknai hidup bersama. Tindakan orang Melayu seharusnya resiprokal kepada yang lain dan akan melahirkan kesan yang amat positif kepada kerangka Malaysia Baru hari ini. 

Sebaliknya juga sama, semakin 'terpenjara' orang Melayu dengan sikap ketaksuban mereka, tindakan resiprokalnya kepada yang lain ialah mereka akan menjadi terancam pula dan membina tembok sendiri justeru kebencian dan prejudis terus melebar dan berleluasa. 

Saya mohon maaf pada mereka yang mengharapkan azam Melayu Bangkit 2019 tidak ikut selera sesetengah pihak walaupun retorik yang sama ini dipakai oleh mereka. Saya hanya mahu kebangkitan Melayu dalam makna menjadi pemangkin dan memimpin Malaysia Baru yang bebas dari perkauman sempit dan prejudis kaum dan agama. 

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden Parti Amanah Negara
Ahli Parlimen Parit Buntar
Menteri di JPM (Agama)