Mana ada tanah orang asli di Kelantan, tegur Nik amar


Kerajaan Kelantan malam tadi menjawab tindakan Putrajaya menyamannya demi Orang Asli, mengatakan tidak ada tanah di negeri itu yang dimiliki masyarakat pribumi itu.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah berkata apa yang menjadi milik Orang Asli adalah apa yang diberi kerajaan negeri.

“Setakat ini tidak ada tanah yang dimiliki Orang Asli kecuali yang diberi milik oleh kerajaan negeri,” katanya kepada FMT. Amar menunggu laporan dan pandangan undang-undang sebelum kerana dia tidak pasti tentang saman itu.

“Tanah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya mengingatkan Putrajaya. Sementara itu, peguam yang sering mewakili kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan melihat tindakan kerajaan persekutuan itu sebagai “janggal”.

Takiyuddin mengingatkan penasihat undang-undang kerajaan negeri sebenarnya pegawai persekutuan. “Putrajaya meletakkan pegawai ini dalam keadaan yang pelik,” katanya. Beliau menambah semua orang maklum soal tanah dan dasar-dasar berkaitan bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Sedangkan kerajaan persekutuan pun tertakluk kepada tanah yang dibuat oleh kerajaan negeri,” katanya. Peguam Negara Tommy Thomas hari ini mengumumkan Putrajaya memfailkan saman terhadap kerajaan Kelantan yang ditadbir oleh PAS kerana pencerobohan penempatan-penempatan Orang Asli.

Ia juga memohon injunksi menghalang syarikat-syarikat swasta menceroboh tanah adat untuk menjalankan aktiviti komersial. Saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu menamakan kerajaan negeri, pengarah tanah dan galian negeri, pengarah perhutanan negeri dan 5 entiti swasta.

Sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/01/18/tak-ada-tanah-dimiliki-orang-asli-kelantan-jawab-putrajaya/