Ketegasan Malaysia terhadap Israel dipuji ramai, dikecam Israel



Ketegasan kabinet Malaysia memutuskan tiada sebarang aktiviti yang melibatkan Israel akan disertai Malaysia dan tidak membenarkan Israel terlibat dengan aktiviti yang berlangsung di Malaysia ternyata mengundang sokongan tidak berbelah bahagi ramai pihak.


Israel pula mengambil sikap mengkritik tindakan Malaysia tersebut yang dianggap tidak demokratik. Namun Malaysia tidak berganjak dari pendirian yang telah diambil. Krisis keganasan Israel terhadap rakyat Palestn bukan lah isu kecil. Ia isu yang berlanjutan sekian lama.





Pada 10 Januari, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa kerajaan kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang akan berlangsung bermula 29 Julai hingga 4 Ogos hadapan.

Dr Mahathir berkata, sekiranya skuad Israel itu tetap berdegil mahu menyertai kejohanan berkenaan maka ia adalah satu kesalahan. Tindakan Malaysia yang tidak membenarkan atlet Israel menyertai kejohanan itu yang mengundang bantahan Jawatankuasa Olimpik Israel yang memberi tekanan berterusan kepada penganjur agar atlet mereka diberikan visa. Kejohanan itu dilihat sebagai platform penting bagi kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.




Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid turut mengulangi ketegasan Malaysia dalam isu ini. Memetik status Facebook beliau, Dr Mujahid menyatakan "Kita akan bertegas dengan Israel. Kerajaan PH tidak akan berkompromi dalam isu palestin tidak seperti kerajaan terdahulu yang menerima masuk mereka ke Malaysia."


Hamas juga menerbitkan satu kenyataan yang menyokong Malaysia menyekat atlet Israel.
“Hamas memuji Malaysia atas pendiriannya dan menyeru semua negara Arab dan Islam untuk menghentikan normalisasi dengan pendudukan Israel yang menjadi tusukan di belakang rakyat Palestin.

“Tambahan lagi, hubungan yang normal dengan pendudukan membawa kepada penghapusan hak rakyat Palestin untuk kebebasan dan kedamaian,” kata Hamas pada hari Jumaat.