Kes Teoh Beng Hock dibuka semula


Menteri  Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan dakwaan ahli parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh bahawa beliau gagal mengarahkan Polis Diraja Malaysia untuk membuka semula siasatan semula kes kematian Teoh Beng Hock.

Berikut kenyataan penuh Tan Sri Dato' Hj Muhyiddin Hj Mohd Yassin :

Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan YB Ramkarpal Singh, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, bahawa saya telah gagal mengarahkan Polis Diraja Malaysia membuka semula siasatan kes kematian Teoh Beng Hock. Dalam Mesyuarat Pasca Kabinet Kementerian Dalam Negeri pada 27 Jun 2018, saya telah memaklumkan bahawa kabinet telah memutuskan supaya kes kematian Teoh Beng Hock dibuka semula dan mengarahkan Ketua Polis Negara supaya mengambil tindakan segera berhubung keputusan tersebut.

Susulan daripada arahan saya dan surat daripada Jabatan Peguam Negara bertarikh 17 Julai 2018, Polis Diraja Malaysia telah menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas yang diketuai oleh DCP Datuk K Manoharan untuk menyiasat semula kes ini. Pasukan Petugas Khas ini telah menyiapkan kertas siasatan dan menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut pada 18 Oktober 2018.

Kenyataan saya bahawa pihak polis sedang menunggu arahan daripada Peguam Negara seperti yang dilaporkan oleh media pada 25 Oktober 2018 adalah merujuk kepada arahan lanjut daripada Peguam Negara berhubung kertas siasatan yang telah diserahkan oleh Pasukan Petugas Khas. Peguam Negara telah memberikan arahan tertentu kepada Pasukan Petugas Khas pada 17 Disember 2018 dan siasatan masih diteruskan.

Kenyataan YB Ramkarpal bahawa saya telah gagal mengarahkan Ketua Polis Negara supaya membuka semula siasatan kes kematian Teoh Beng Hock adalah cuai dan tidak benar sama sekali. Sebagai Ahli Parlimen kerajaan, beliau sepatutnya lebih cermat dalam membuat sebarang kenyataan terutamanya yang melibatkan anggota pentadbiran kerajaan. Saya berasa amat kesal dengan kenyataan tersebut.


TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Menteri Dalam Negeri