Jentera UMNO berbalah sesama sendiri di Cameron pasal calon


Anggota UMNO diminta supaya menghentikan segala perbalahan sesama sendiri dan memberi tumpuan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Angota Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan semua jentera supaya tidak mengambil mudah PRK berkenaan yang kini masuk hari kelima tempoh berkempen.

"UMNO dan Barisan Nasional (BN) sedar kita punyai banyak kekurangan sebelum Pilihan Raya Umum sebelum ini dan ini masa kita perbaiki diri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Veteran Angkatan Tentera Malaysia di Restoran Satay Warisan, dekat sini, hari ini.

Bekas Naib Presiden UMNO itu mengakui walaupun calon BN pada PRK berkenaan, Ramli Mohd Nor, 61, tidak mempunyai pengalaman dalam politik, namun faktor itu tidak boleh dijadikan penentu sama ada mereka dapat memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

"InsyaAllah, jangan sebelum apa-apa lagi, kita cantas mencantas orang yang baharu nak berkhidmat. Kalau macam itu, tidak ada satu pun orang yang akan berkhidmat untuk parti kita.

"Akhirnya, UMNO ke mana, BN ke mana. Sebab parti hanya kuat dengan pemimpin yang ikhlas dan jujur. Yang saya rasa calon kita ini boleh dibimbing dengan nilai-nilai yang baik," katanya.

PRK berkenaan yang diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov lepas mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi parlimen itu, terbatal dan tidak sah, menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan dan BN serta dua calon bebas.

Selain Ramli yang merupakan bekas pesara Polis Diraja Malaysia, calon-calon lain ialah Timbalan Pengerusi DAP Pahang M. Manogaran, 60, mewakili PH, bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib, 61, serta petani, Wong Seng Yee, 40, masing-masing sebagai calon bebas.

Pada PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam pertandingan lima penjuru dengan memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS/3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa/81 undi) dan B. Suresh Kumar daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM/ 680 undi).