Cemburu punya pasal, kami dituduh kuda tunggangan, kata Mat Sabu



Tindakan pihak tertentu yang menuduh Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai kuda tunggangan parti lain dalam Pakatan Harapan menunjukkan seolah-olah mereka cemburu dengan kejayaan parti itu yang sudah mula mendapat sokongan rakyat. 


Menyifatkan tuduhan parti itu sebagai perkara biasa, Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata apa yang penting adalah parti itu semakin meningkat naik dengan mencatatkan pertambahan jumlah anggota,  membuktikan sokongan rakyat terhadap Amanah.


"Walaupun baru tiga tahun ditubuhkan, Amanah telah dapat mengumpul lebih 100,000 anggota di seluruh negara dan jumlah itu meningkat dengan pantas selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Mei lalu, " katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu ditemui selepas merasmikan pembukaan pusat  pameran dan pusat servis Honda Impian X 2019 di sini hari ini.


Turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda Sdn Bhd, Keiichi Yasuda; Pengerusi Boon Siew Honda Sdn Bhd  Datuk Seri Tan Hui Jing; Komander Pangkalan Udara Butterworth, Brigedier Jeneral Amer Mahmud Abdul Rahman dan Anggota Dewan Undangan Negeri Bertam  Khaliq Mehtab Mohd Ishaq.


Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata paling mengejutkan apabila Kelantan yang menjadi kubu kuat parti PAS merupakan negeri tertinggi menyumbang kepada peningkatan anggota iaitu seramai 5,000 orang sebulan.

"Bulan lepas sahaja kita terima 5,000 keahlian dari Kelantan dengan 40 peratus daripada jumlah berkenaan berasal daripada PAS, manakala bakinya daripada pelbagai parti lain," katanya.


Katanya Amanah sedang berkembang begitu pesat di seluruh negara kerana sebelum PRU14,  keanggotaan parti itu dianggarkan kira-kira 80,000 orang tetapi kini jauh melepasi 100,000 orang.


"Kami sedang memacu (parti) dan keahlian bertambah, selain dasar kekal dengan Islam dan bersifat inklusif… ini  juga secara tidak langsung menunjukkan penerimaan rakyat kepada kerajaan PH   di mana Amanah adalah parti komponen di dalamnya," katanya.