Banteras Arak dan Rokok seludup merupakan fokus utama Kastam tahun ini.



Jabatan Kastam memberi fokus utama kepada membanteras kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras tahun ini dengan penguatkuasaan pindaan Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 pada 2 Jan lepas, kata Pengarah Kastam Negeri Sembilan Zaida Hussin.

Beliau berkata pindaan yang mengenakan hukuman lebih tinggi bagi penyeludupan dan penjualan rokok serta minuman keras tidak lulus kastam itu diharap dapat membendung penyeludupan dan penjualan bahan itu secara haram di pasaran di negara ini.

“Kami amat mengalu-alukan maklumat yang boleh disampaikan untuk kami mengambil tindakan segera ke atas mereka yang didapati menjual rokok dan minuman keras tanpa kelulusan kastam,” katanya pada majlis Hari Bertemu Pelanggan sempena sambutan Hari Kastam Sedunia ke-37 tahun 2019 di sini hari ini.

Katanya pada tahun ini juga, Jabatan Kastam lebih berfokus kepada peranannya dalam meningkatkan kelancaran dan kepantasan pergerakan barang, orang dan pengangkutan merentasi sempadan dengan bantuan dan kerjasama erat bersama agensi lain di sempadan dengan tujuan dapat memacu ekonomi negara dan mengelakkan kebocoran hasil.

Sementara itu, mengenai Hari Bertemu Pelanggan Jabatan Kastam yang dijalankan serentak di seluruh negara bermula semalam hingga Jumaat ini, Zaida berkata pihaknya membuka kaunter khas berhubung isu atau permasalahan antaranya berkaitan perundangan dan prosedur perkastaman, Akta Cukai Jualan 2018, Akta Cukai Perkhidmatan 2018 dan penghantaran penyata.