21 orang ditahan Polis dalam Op di Menggatal


Polis menahan 21 orang dan merampas 10.31 gram syabu dalam operasi membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di Kampung Lobou Menggatal dekat sini, semalam.

Enam belas yang ditahan adalah lelaki dan lima perempuan termasuk empat tiada dokumen pengenalan diri, yang kesemua mereka berusia tiga hingga 45 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata syabu dirampas daripada dua lelaki masing-masing memiliki 10.17 gram dan 0.14 gram.

Op Sarang itu dilancarkan berdasarkan maklumat awam dan risikan ke atas sarang penagih bagi memastikan kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah dapat dibendung sepenuhnya, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Operasi diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kota Kinabalu ASP Samsualan Samsudin dijalankan dari pukul 8.30 pagi hingga 5 petang.

Katanya operasi itu juga dijalankan untuk mengenal pasti dan mengambil tindakan ke atas anggota sindiket pengedaran dadah yang wujud di kawasan sarang tersebut.