Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengeluarkan notis kompaun kepada 80 individu dan entiti yang menerima wang berjumlah RM420 juta dipercayai daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata Ketua Pesuruhjayanya Latheefa Koya.
Beliau berkata mereka yang menerima kompaun di bawah Seksyen 92(1) Akta Anti Pengubahan Wang Haram dan Anti Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) diberikan tempoh dua minggu untuk memulangkan wang berkenaan.
Latheefa berkata SPRM telah membuka kertas siasatan ke atas 80 individu dan entiti yang menerima kompaun itu supaya mereka mengambil serius perkara itu dan membayarnya.
Beliau berkata individu didapati menerima wang serendah RM500,000 sehingga RM25 juta, sementara entiti menerima sehingga RM134 juta.
“Denda adalah serendah jumlah wang yang mereka terima atau setinggi 2.5 kali jumlah wang yang mereka terima. Kami berharap mendapatkan semula sebanyak mana yang kami boleh.
Terserah kepada kepada mereka untuk membayar denda, jika gagal, kami akan menggunakan kuasa penuh yang diberikan menurut akta untuk mengambil tindakan yang perlu,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Menurut Latheefa, Solar Shine Sdn Bhd merupakan entiti yang menerima jumlah wang tertinggi, RM134 juta sementara individu, Datuk Seri Nazir Tun Razak yang merupakan bekas Pengerusi CIMB menerima RM25.7 juta.
Beliau berkata sembilan individu dan 71 entiti , terdiri daripada 23 syarikat, 43 organisasi politik dan lima yayasan dan organisasi menerima wang melalui cek yang melibatkan akaun bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Mereka menerimanya dengan cek, dengan itu kami boleh mengesahkan jejak transaksi dan mengekorinya dengan keyakinan. Kami amat jelas dari mana datangnya wang itu,” katanya.
Latheefa berkata SPRM telah menerima kebenaran untuk mengeluarkan kompaun itu daripada Peguam Negara.
Ditanya sama ada dua minggu mencukupi buat mereka, Latheefa berkata:” Mereka perlu memohon untuk melanjutkan masa jika tidak mencukupi.”
Ditanya sama ada perkara ini meletihkan, Latheefa berkata:”Tidak dan ada banyak lagi.”
Latheefa berkata SPRM juga telah mengeluarkan (daripada senarai) mereka yang telah membayar untuk kebajikan sebenar dan mereka akan diuruskan kemudian.
Ditanya mengenai perbezaan antara notis kompaun dan pelucutan hak terhadap 41 penerima dan entiti yang difailkan dalam bulan Jun, Latheefa berkata pelucutan hak dikeluarkan apabila wang yang diterima masih berada dalam akaun mereka.
“Jadi kami perlu keluarkan arahan untuk membekukan akaun-akaun terbabit dan daripada situ, dalam tempoh 12 bulan kami mengambil keputusan untuk menyita wang berkenaan apabila mereka gagal menjelaskan dari mana mereka mendapat wang itu,” katanya .
BERNAMA