1MDB diuruskan oleh orang bodoh – peguam Najib

1MDB diuruskan oleh orang bodoh – peguam Najib

Pasukan pembelaan bekas perdana menteri Najib Razak dalam perbicaraan rasuah RM2.28 bilion dana 1MDB hari ini mengecam seorang bekas pegawai syarikat itu, kerana didakwa telah ditipu lebih daripada sekali.

Ketika pemeriksaan balas dengan bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah membangkitkan kegagalan 1MDB untuk mengesan bahawa Aabar Investments PJS Ltd, yang didaftar di Virgin Islands, tiada kaitan dengan Aabar Investments PJS yang berpangkalan di Abu Dhabi.

“1MDB pastinya diuruskan oleh sekumpulan orang bodoh sehingga berdepan keadaan bermasalah (to fall in cobra pits).

“Saya tiada komen,” balas Shahrol.

Terdahulu, Shahrol berkata dia percaya Aabar BVI adalah subsidiari kepada Aabar Investments PJS memandangkan kedua-duanya mempunyai pemegang jawatan yang sama, iaitu Khadem al-Qubaisi dan Mohamed Badawy al-Hussainy. Kedua-duanya berdepan tindakan jenayah di Emiriah Arab Bersatu.

Ketika pemeriksaan balasnya, Shafee merujuk Aabar BVI sebagai “little Aabar” dan Aabar yang sah sebagai “big Aabar”.

Shahrol berkata dia tidak mengesahkan sama ada “little Aabar” atau “big Aabar” memiliki kaitan atau tidak dan tidak pasti jika ada pegawai 1MDB lain yang berbuat demikian.

Ditanya jika dia “terkejut besar” apabila International Petroleum Investment Company (IPIC) menafikan kaitan dengan Aabar BVI pada 2016, Shahrol menjawab dia pada masa itu sudah pun lali dengan pendedahan-pendedahan tentang 1MDB.

Sebelum penafian IPIC itu, 1MDB membayar berbilion dolar kepada Aabar BVI daripada perolehan bon yang dikendalikan Goldman Sachs pada 2012, yang kemudiannya diselewengkan.

“Saya terkejut tetapi tidak terkejut besar,” kata Shahrol.

“Kerana keadaan pada masa itu, pada 2015, misalnya apabila Bank Negara menyatakan Good Star Ltd bukan entiti Petrosaudi International, ia sekali lagi modus operandi yang sama.

“Saya sudah pun lali (numb) daripada pendedahan Sarawak Report berkenaan 1MDB,” katanya lagi.

Fasa Petrosaudi International merupakan fasa paling awal dan berasingan, di mana dana 1MDB didakwa telah dicuri.

1MDB menyertai usaha sama dengan Petrosaudi pada 2009 tetapi Good Star Ltd, yang dikawal oleh ahli perniagaan Low Taek Jho, diberi gambaran salah sebagai sebuah subsidiari Petrosaudi.

1MDB akhirnya memindahkan AS$1.03 bilion (RM4.34 bilion) kepada Good Star Ltd dan wang tersebut kemudian diselewengkan.

Shahrol merupakan CEO 1MDB sejak 2009 hingga 2013.

Ketika itu Najib adalah perdana menteri dan menteri kewangan, dan justeru pemegang saham 1MDB. Dia juga pengerusi lembaga penasihat syarikat itu.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/537261