18,000 serbu PPV Mega Bukit Jalil pagi ini, vaksin ada 12,000 sahaja

Polis melakukan kawalan ketat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Stadium Bukit Jalil, di sini, hari ini, bagi mengatasi masalah kesesakan di pusat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata pihaknya menambah kekuatan anggota daripada 38 orang kepada 78 anggota termasuk tujuh anggota daripada bahagian trafik bertugas hari ini.

“Berdasarkan pemerhatian seawal jam 9.30 pagi, kehadiran orang ramai sudah menjangkau 18,000 orang sedangkan vaksin disediakan hanya untuk 12,000 penerima saja.

18,000 serbu PPV Mega Bukit Jalil pagi ini, vaksin ada 12,000 sahaja

“Bagi jumlah yang melebihi daripada jumlah vaksin disediakan, kami akan mengarahkan individu selebihnya untuk bersurai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, PPV Mega Stadium Bukit Jalil dibanjiri pekerja asing daripada sektor perindustrian dan pembangunan seawal jam 4 pagi dan mereka gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan COVID-19.

Muhammad Idzam berkata, pasukan keselamatan berkenaan akan melakukan kawalan seawal jam 6 pagi berbanding peringkat awal bermula jam 7 pagi dengan anggaran 5,000 penerima.

“Anggota bertugas bertindak mengarahkan pemantauan dengan meminta orang ramai beratur pada jarak mengikut SOP dan dibahagikan kepada dua barisan.

“Mereka (anggota bertugas) turut mengasingkan penerima vaksin mengikut jantina dengan warga emas diberi keutamaan,” katanya.

Muhammad Idzam berkata, penugasan dibahagikan kepada lima pasukan yang ditempatkan di pintu A membabitkan penerima dos pertama, pintu E (penerima dos kedua), parkir A dan B.

“Kawalan bermula dari orang ramai turun bas hingga ke laluan masuk pintu A dan pintu B.

“Di pintu A agak ramai memandangkan ia untuk penerima dos pertama, manakala pintu E pula lebih mudah dikawal kerana jumlah orang tidak terlalu ramai,” katanya.

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/854548/polis-kawal-ketat-ppv-mega-bukit-jalil-atasi-kesesakan

BACA JUGA : Zaman politik ‘big brother’ sudah berlalu, kata Annuar Musa

Artikel ini disiarkan pada 22/08/2021

COMMENTS

Wordpress (0)