11 juta penduduk di Wuhan bebas dari perintah berkurung

Bandar Wuhan yang merupakan tempat tercetusnya wabak Covid-19 Disember lalu, mula menarik balik perintah berkurungnya hari ini, setelah dua bulan terputus hubungan dengan kawasan-kawasan lain di China.

Menurut laporan Reuters, perkhidmatan kereta api bawah tanah dan kereta api laju mula beroperasi, sempadan-sempadan juga mula dibuka, dan keluarga-keluarga yang terpisah akhirnya dapat bertemu semula.

“Saya sangat gembira dapat berjumpa keluarga saya,” kata Guo Liangkai, 19, pelajar yang terkandas di Shanghai selama tiga bulan, ketika bertemu semula dengan ibunya di stesen utama hari ini.

“Kami nak berpelukan, tapi sekarang tempoh khas, jadi kami tak boleh peluk-peluk,” katanya kepada Reuters.

Sebelum ini, pihak berkuasa mengambil tindakan tegas melarang orang ramai masuk dan keluar daripada bandar Wuhan yang berkapasiti 11 juta penduduk itu.

Perkhidmatan bas dan teksi dihentikan, dan hanya kedai-kedai yang penting saja dibenarkan terus beroperasi.

Kes di Wuhan merangkumi kira-kira 60 peratus kes Covid-19 di seluruh dunia, namun ia mengalami penurunan ketara beberapa minggu kebelakangan ini.

Kes jangkitan tempatan yang terakhir dilaporkan di Wuhan adalah pada Isnin lalu.

Suruhanjaya Kesihatan China berkata kesemua 54 kes baru Covid-19 dilaporkan di tanah besar pada Jumaat lalu adalah kes import. Setakat ini, tanah besar China mencatatkan 81,394 kes, dan kematian pula meningkat sebanyak tiga kes menjadi 3,295 kematian.

Covid-19 kini merebak ke lebih 200 negara. Di kala AS, Itali dan Sepanyol bergelut membendung penularannya, China kini memberi tumpuan terhadap kes import yang kebanyakannya mungkin dibawa oleh warga China yang pulang ke tanah air.

Bermula hari ini, China melarang kemasukan warga asing yang memegang visa China dan permit penduduk yang sah.

Pihak berkuasa Wuhan tetap meneruskan langkah membendung jangkitan.

Pensanitasi tangan disediakan di stesen-stesen kereta api, dan papan tanda dinaikkan bagi mengingatkan pengguna perkhidmatan bahawa mereka memerlukan kod kesihatan di telefon masing-masing untuk menaiki pengangkutan awam.

“Pakai penutup mulut dan hidung di sepanjang perjalanan, jangan berkumpul, dan sila imbas kos kesihatan ketika turun-” seorang petugas membawa papan tanda yang tertera amaran berkenaan.

Bagaimanapun, tetap timbul kebimbangan di kalangan orang awam bahawa pelonggaran perintah berkurung itu mungkin menyebabkan pembawa Covid-19 tanpa gejala yang tidak diketahui jumlahnya, boleh menyebarkannya penyakit itu kepada orang lain pula.

Kehidupan di Wuhan masih belum pulih seperti biasa. Banyak kedai masih ditutup dan jalan masih disekat. Penduduk masih tidak dibenarkan meninggalkan Wuhan sehingga 8 April.

 

Sumber : https://www.malaysiakini.com/news/517434

COMMENTS

Wordpress (0)