Sebanyak 10 buah kenderaan termasuk lori yang membawa bantuan misi kemanusiaan daripada Pertubuhan Kebajikan Dana Kita (Dana Kita) diarah berpatah balik di Sekatan Jalan Raya (SJR) Plaza Tol Bentonag pagi ini kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, kesemua kenderaan itu diarah berpatah balik kira-kira pukul 1 pagi tadi kerana gagal mengemukakan surat kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri atau Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (PKOB).
“Kalau ada surat kebenaran ditetapkan MKN tiada masalah, jadi kesemua kenderaan diarah berpatah balik dan tidak dikenakan kompaun.
“Polis di SJR perlu berlaku tegas dan adil, jika tidak prosedur operasi standard (SOP) itu tiada maknanya dan jika tidak bersetuju dengan SOP MKN boleh minta MKN pertimbangkan semula SOP berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Pada 20 Julai lalu tiga buah lori yang membawa bantuan misi kemanusiaan pendakwah terkenal, Ebit Lew diarah berpatah balik kerana gagal mengemukakan kelulusan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan PKOB di SJR Plaza Tol Bentong.
Dalam pada itu, menurut kenyataan daripada Facebook Dana Kita, misi bantuan berkenaan yang turut mendapat kerjasama daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPN) dalam perjalanan menghantar bantuan ke Terengganu.
Katanya, selepas diarah berpatah balik pasukan berkenaan meneruskan perjalanan melalui Perak dan Gua Musang, Kelantan sebelum sampai ke Terenganu yang mengambil masa kira-kira 21 jam.
Berita Penuh : https://www.kosmo.com.my/2021/07/23/10-kenderaan-misi-bantuan-dana-kita-diarah-patah-balik/